Saturday 10 November 2012

Generasi baru Felda dapat durian runtuh RM563 juta


Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perhimpunan Generasi Baharu FELDA hari ini 
SHAH ALAM - Seperti yang dijanjikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan bayaran 'durian runtuh' pusingan ketiga kepada generasi baru Felda sebanyak RM5,000 untuk 112,635 keluarga melibatkan RM563.2 juta.
 
Sebagai menandakan pembayaran itu, Najib menyampaikan cek replika kepada wakil dari 11 Wilayah Felda pada Himpunan Generasi Baharu Felda dihadiri kira-kira 12,000 belia dari seluruh negara di Universiti Teknologi Mara di sini.
 
Berucap pada majlis itu, Najib berkata, kini tiba giliran generasi baru Felda untuk mendapat manfaat itu selepas ibu dan bapa mereka sebelum ini.
 
"Hari ini giliran generasi kedua anak-anak mendapat rahmat daripada durian runtuh, sekali gus membuktikan bahawa sebagai sebuah kerajaan kita tidak pernah mungkir janji," kata beliau.
 
Sebelas Wilayah Felda itu ialah Raja Alias, Segamat, Gua Musang, Kuantan, Trolak, Johor Bahru, Mempaga, Terengganu, Alor Setar, Jengka dan Sahabat di Lahad Datu.

Laporan media sebelum ini menyebut jumlah durian runtuh yang diberi kepada peneroka, isteri peneroka dan generasi kedua ini ialah RM1.689 bilion.
  
Najib menarik perhatian bahawa pihak pembangkang cuba menidak dan menggagalkan segala usaha baik yang kerajaan lakukan, misalnya dengan menyatakan Felda telah bankrap.
  
"Orang yang tak betul sahaja yang percaya Felda bankrap," tegas beliau.
  
Najib berkata mereka bukan sahaja mengutuk tindakan malah memfitnah kerajaan, dan kalaupun mereka mengemukakan idea, ia bersifat dangkal.
  
Sumber dana kesemua pemberian durian runtuh adalah hasil penawaran awam permulaan berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia yang merupakan penyenaraian saham kedua terbesar di dunia tahun ini.
  
FGVH menyasarkan bayaran dividen 50 peratus daripada keuntungan perniagaannya setahun.

Najib berkata kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada generasi baru Felda sehingga ada yang kini menjawat jawatan tinggi, berpendapatan lumayan dan mempunyai tahap kepakaran tinggi termasuk mampu menyelenggara pesawat penumpang terbesar di dunia, Airbus A380.
  
Beliau turut gembira dengan sokongan yang diterimanya hari ini dan berharap ini berterusan sehinggalah ke pilihan raya umum nanti.
  
Seorang wakil 11 Wilayah Felda berkenaan, Yip Seng Lam, 40, berkata beliau selaku wakil 36 tanah rancangan di bawah Wilayah Mempaga, Pahang berterima kasih kepada Felda dan Perdana Menteri atas pemberian kepada generasi kedua Felda hari ini.
  
Yip, yang mengusahakan tanah rancangan Felda Lurah Bilut, Bentong berkata terdapat 616 keluarga peneroka di sana melibatkan 400 keluarga Melayu, 169 Cina dan selebihnya keluarga India.

No comments:

Post a Comment

Get widget