Sunday 25 November 2012

Pakatan: BN menang PRU13 hanya sekadar ramalan

Dr Tan Seng Giaw
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw
SHAH ALAM - Parti komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP gagasan pembangkang itu masih mempunyai peluang cerah untuk menawan Putrajaya meskipun beberapa ramalan menyebut Umno-Barisan Nasional akan mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, hakikat adalah, trend semasa menunjukkan PR punya sokongan yang menggalakkan di peringkat akar umbi yang membolehkan pembangkang menumbangkan kerajaan semasa.

"Setakat ini, trend menggalakkan bagi PR. Kami akan berikhtiar agar suara rakyat akan memihak kami. Jika pilihan raya dijalankan dengan adil dan munasabah, kami akan mempunyai harapan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ahli Parlimen Kepong itu berkata demikian ketika mengulas hasil kajian Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang mendapati, BN akan mengekalkan kemenangan pada PRU kali ini jika ia diadakan sekarang.

Menurut Shamsul, meskipun keputusan kali ini akan memperlihatkan majoriti mengecil, daripada menang 140 kerusi kepada minimum 120 sahaja, BN bagaimanapun akan terus menguasai tampuk pemerintahan.

Shamsul berkata, senario itu berdasarkan kajian yang dibuat pihaknya September lalu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran menolak sama sekali ramalan yang dibuat oleh Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sambil berkata, PR akan menang selesa pada PRU13.

"Ini berlandaskan pengalaman kita setiap hari, setiap minggu turun menjelajah seluruh negara. Ini punca keyakinan kita. 

"Lagi pun ia hanya satu ramalan daripada seorang profesor akademik yang tidak mempunyai pengalaman turun ke bawah dan melihat keadaan sebenar di bawah. Kita amat yakin akan mencapai satu kemenangan yang selesa supaya membentuk kerajaan Persekutuan yang baru," kata beliau.

Rekod semasa menunjukkan BN kini memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22), Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu).

Sementara satu kerusi kosong.

PRU13: BN letak ulama tanding di Kelantan

Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed
PASIR PUTEH -  Golongan ulama antara yang turut dicalonkan Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun), pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.
  
Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mereka terdiri daripada golongan yang berwibawa dan banyak berjasa kepada parti dan negara selain berpotensi untuk menang.
  
"Kita sudah mengenal pasti nama-nama mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup Program Pelancaran 1Komuniti 1Koperasi di sini, hari ini.
  
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, nama calon tersebut akan diumumkan lebih awal dari biasa untuk memberi peluang kepada rakyat menilainya.
  
"Biasanya, termasuk PRU ke-12, dua hari tarikh penamaan calon kita umumkan tetapi kali ini ia lebih awal dari itu," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Jeli.
  
Mustapa berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) juga akan turut diedarkan lebih awal supaya setiap rakyat Kelantan dapat meneliti dan membuat pertimbangan.
 
Katanya, manifesto itu, sedang dirangka yang menjurus ke arah perseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani yang sebelum ini sebahagiannya telah diumumkan seperti pembinaan jalan lebuh raya antara Kota Bharu-Kuala Krai.
  
Beliau berkata, keseluruhannya ia memberi masa depan yang lebih terjamin kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang memerintah negeri itu.

Mustapa berkata rakyat Kelantan perlu percaya dan yakin setiap yang terdapat dalam manifesto itu kelak, ia pasti akan ditunaikan sesuai dengan slogan 'Janji Ditepati'.
  
Pada majlis itu, beliau menerima sumbangan lebih RM3,000 dari Umno Bahagian Pasir Puteh untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel.

Kesatuan Melayu bukan ancaman kaum lain, kata Najib

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesungguhan Umno untuk memupuk perpaduan di kalangan orang Melayu bukan bererti parti itu rasis dan menentang kaum lain di negara ini.
  
Menepis dakwaan Umno sebagai parti rasis untuk kesekian kalinya, Presiden Umno itu menegaskan, parti itu sentiasa berpegang bahawa kekuatan negara harus berpaksi kepada kerjasama antara kaum.
  
"Perpaduan Melayu bukan bererti kita menentang kaum lain... kita mesti bawa kaum lain bersama kita. Semangat ini kita dah bawa sejak dulu lagi dari zamanTunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak... kenapa kita hendak ketepikan apa yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin pengasas kita.
  
"Kalau kita tidak mahu kerjasama kaum lain Tunku (Abdul Rahman) tidak akan buat (parti) Perikatan, Tun (Abdul) Razak tidak akan buat BN, tetapi mereka buat sebab kita tahu kekuatan negara kita mesti berpaksi kepada kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang," katanya.
  
Dalam wawancara khas dengan pengarang berita Bernama dan Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung Umno 2012, Najib berkata tuduhan rasis adalah dakyah pembangkang untuk menjatuhkan Umno, namun langkah perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi tersebut.
 
"Itu dia tuduh. Kita tidak rasis dari dulu lagi, cuma ada beberapa tindakan yang boleh timbulkan persepsi sedemikian dan patut kita betulkan dan kita akan lakukan," katanya.
  
Najib berkata dalam konteks keadilan beliau berpegang teguh kepada prinsip Islam yang menuntut seorang pemimpin untuk sentiasa berlaku adil kepada semua pihak.
  
"Saya berpegang kepada prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai pemimpin dan Tuhan tidak kata kepada orang Islam sahaja. Sebab itulah kita tidak boleh bolot semua kerana orang lain pun menyumbang kepada negara.
  
"Orang India dengan estetnya, dengan jalan raya yang dibina, orang Cina dengan keusahawanannya, sumbangan dalam bidang perniagaan untuk negara kita dan mereka juga membayar cukai.
  
"Asalkan kita faham perkara ini. Apa yang kita hendak tolong orang Melayu kita tolong, apa yang kita hendak tolong orang Cina dan India kita tolong secara adil dan saksama," katanya.

Penting juga, kata Najib untuk memastikan masyarakat bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak serta kaum orang Asli tidak terpinggir kerana mereka juga mempunyai hak untuk mendapat keadilan di negara ini.
  
Mengenai agenda bumiputera, Najib berkata ia perlu diteruskan bagi menjamin penduduk majoriti negara ini tidak terpinggir daripada pembangunan dan kemajuan yang dikecapi negara.
  
"Kalau negara kita ini membangun dan berjaya hatta menjadi negara maju tetapi penduduk majoriti terpinggir tentu ini tidak menyumbang kepada kesejahteran dan kestabilan negara kita juga," katanya.
  
Perdana Menteri berkata konsep Gagasan 1Malaysia diilhamkan bagi memastikan rakyat lebih faham bahawa Malaysia merupakan negara di mana semua kaum mendapat manfaat daripada kepimpinan negara.

Pakatan mahu PM bentang kertas putih NFC

nfc
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM  - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  menyediakan kertas putih skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang didakwa melibatkan dana awam berjumlah RM250 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Perdana Menteri sepatutnya mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang telah membentangkan kertas putih pelunasan hutang Syarikat
Talam Corporation Bhd (Talam) kepada Kerajaan Negeri yang berjumlah RM392 juta dalam Sidang Dun baru- baru ini.

“Dalam kertas putih tersebut, kita telah berjaya membuktikan dakwaan Kerajaan Negeri ‘bailout’ hutang Talam dan berlaku penyelewengan adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Kejayaan kita membentangkan kertas putih ini telah membuktikan pentadbiran PR bersikap telus, jujur dan tidak menyembunyikan sebarang urus niaga yang melibatkan harta milik rakyat yang bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama enam Ahli Parlimen PR iaitu Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Abdul Khalid berkata, kertas putih skandal NFC tersebut perlu disertakan dengan laporan audit oleh firma antarabangsa, PriceWaterhouse Coopers dan dibentangkan kepada semua Ahli Parlimen serta diedarkan kepada media dan orang awam, sama seperti yang dilakukan kerajaan Selangor.

“Kita mahu kerajaan Persekutuan menerangkan kepada rakyat  bagaimana  dana milik rakyat ini telah dibelanjakan dan membentangkan semua perbelanjaan, pihak yang membelanjakan dan aset-aset yang dibeli untuk disemak oleh rakyat.

“Kita mendapati terdapat ahli politik Barisan Nasional (BN) terlalu lantang mengkritik usaha Kerajaan Selangor mengutip hutang lapuk Talam tetapi ‘menikus’ dalam isu skandal NFC sedangkan sudah terbukti berlaku penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya.

Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri gagal menyediakan kertas putih tersebut, maka terbukti BN tidak jujur menguruskan harta rakyat dan tiada alasan lagi untuk rakyat terus menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Selasa lalu, Abdul Khalid mendedahkan kertas putih kutipan hutang lapuk Talam membabitkan laporan penuh KGMG serta dokumen berkaitan dalam simpanan Pejabat Dewan Negeri Selangor boleh disemak oleh orang awam tertakluk kepada prosedur di bawah Akta kebebasan Maklumat pada sidang media di Sidang Dun.

Laporan kertas putih Talam boleh dimuat turun di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan Media Selangorku.

Alliance Bank: Kemudahan solat tidak pernah diabai

SHAH ALAM - Alliance Bank menafikan dakwaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) sambil menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengambil berat tentang kemudahan solat bagi pekerjanya beragama Islam.

"... kemudahan-kemudahan sedemikian telah diwujudkan demi keselesaan bagi memenuhi obligasi agama pekerja," kata Alliance Bank dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Sehubungan itu, Alliance Bank menjelaskan, pihaknya akan terus berganding dengan pihak berkuasa yang relevan dan pihak-pihak yang berkepentingan.

Bank itu mengulas dakwaan Setiausaha Agung Nube, J. Solomon bahawa oleh kerana ketiadaan tempat sembahyang, pekerja Islam bank itu menunaikan sembahyang dalam bilik stor, di bawah tangga dan dalam bilik peralatan.

Rosmah: Wanita muda perlu berani ceburi bidang kritikal

KUALA LUMPUR - Golongan wanita muda di negara ini perlu meneruskan perjuangan memartabatkan golongan wanita dan berani menceburi bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, aeroangkasa dan nano-teknologi.
  
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata sebagai golongan pelapis mereka harus terus relevan dalam arus pembangunan dan sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri.
  
"Barulah nanti saudari-saudari mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki apabila setiap yang ada di hadapan saya ini merupakan wanita muda profesional.
  
"Saya harap saudari-saudari tidak mudah putus asa kerana bukan senang untuk berjaya di mana kita perlu komited serta fokus," katanya pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
  
Rosmah selaku penaung himpunan itu turut memuji sikap keterbukaan golongan wanita yang dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dan mampu membantu golongan itu untuk memainkan peranan membangunkan negara.

"Sikap ini sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya," katanya.
  
Beliau menasihatkan golongan wanita khususnya wanita muda supaya menanamkan semangat juang yang tinggi dengan berusaha bersama-sama untuk meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik, progresif serta berdaya saing.
  
"Kita jangan lemah dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan kita... bahkan saya sendiri selalu mendengar cerita kurang manis tentang diri saya sendiri.. tetapi ia langsung tidak menjejaskan saya kerana saya perlu meneruskan kehidupan demi suami saya, anak-anak saya, negara saya, Barisan Nasional dan juga wanita muda," katanya.
  
Justeru itu, Rosmah mahu golongan wanita keluar daripada kerangka Malaysia dengan menerokai sesuatu bidang hingga ke peringkat global dan  meletakkan penanda aras supaya pencapaian setaraf dengan wanita di negara maju.
  
"Justeru majlis seumpama ini merupakan satu platform amat baik dan relevan kepada golongan wanita bagi mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai bidang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping meningkatkan jaringan atau 'network'," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata himpunan itu berjaya membuka minda golongan wanita muda dengan membantu menganjakkan paradigma golongan tersebut dalam mencorakkan pembangunan negara.
  
"Wanita muda sebagai aset negara yang tidak ternilai ini perlu dibimbing bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa utuh dan teguh," katanya.
  
Menurut Rosnah, himpunan yang berteraskan kepada empat moto utama iaitu Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi (IDEA) itu mampu menjadi pemangkin bagi melonjakkan semangat serta tekad wanita muda di negara ini.
  
"Moto ini apabila digabungkan akan membentuk satu idea selari dengan keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat serta potensi sebenar mereka," katanya.
  
Himpunan tersebut turut mengiktiraf pencapaian wanita muda yang cemerlang melalui penganugerahan beberapa anugerah antaranya Cabaran Pidato Wanita Muda, Cabaran Rancangan Perniagaan Wanita Muda dan Cabaran Penyelidikan Gender.
  
Nur Farhanis Mohd Sukri, 24, johan kategori Cabaran Penyelidikan Gender berkata beliau amat berbesar hati apabila dipilih sebagai johan bagi kategori tersebut dan akan terus berusaha memartabatkan golongan wanita muda.
  
Mahasiswi jurusan Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara itu menjalankan tesis mengenai status kualiti hidup wanita sebagai pembuat keputusan dalam membantu mencapai status kualiti hidup yang lebih baik.
  
Himpunan yang mengumpulkan kira-kira 10,000 wanita muda daripada pelbagai latar belakang itu merupakan satu permulaan ke arah mensinergikan keupayaan wanita muda ke tahap yang lebih baik.

Kanak-kanak Gaza kembali ke sekolah

BANDAR GAZA - Puluhan ribu kanak-kanak dalam Semenanjung Gaza memulakan persekolahan di hari kedua gencatan senjata antara Israel dan Palestin, semalam.

Jurucakap agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adnan Abu Hassna berkata, sebanyak 245 buah sekolah di bawah kendalian PBB dibuka buat pertama kali selepas ditutup lebih seminggu susulan serangan itu.

"Mungkin topik perbincangan dalam kelas tertumpu kepada pengalaman mereka berhadapan serangan kumpulan rejim," kata Hassna.

Sepanjang tempoh itu, lebih 1,500 mortar dilancarkan tentera Israel ke dalam Gaza, berbanding sejumlah kecil serangan balas oleh pejuang Hamas.

Akhbar tempatan melaporkan, seramai 156 penduduk Palestin termasuk 33 kanak-kanak dan bayi dibunuh.

Jumlah berkenaan jauh lebih besar berbanding jumlah kematian di Israel yang hanya mencatatkan seramai enam orang sahaja.

Sementara itu, di Baitulmaqdis, selain menyekat laluan ke masjid Al-Aqsa, tentera rejim bertindak menahan enam pejuang Hamas sehari selepas seorang penduduk Palestin ditembak mati di pagar sempadan antara Gaza dan Israel. 

Badan Kehakiman sertai demo kecam Presiden Mesir

Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammaed Morsi, yang mengisytiharkan kuasa-kuasa khas bagi dirinya sementara perlembagaan baru digubal, berhadapan dengan protes yang masuk hari kedua semalam, yang turut disertai badan kehakiman negara itu.

Majlis Kehakiman Agung, badan kehakiman tertinggi Mesir, mendakwa pengisytiharan Mohammed sebagai satu pencabulan ke atas sistem kehakiman yang tidak pernah berlaku di negara tersebut.

"Majlis Kehakiman Agung, yang bertanggungjawab ke atas semua perkara berkaitan dengan kehakiman dan hakim, melahirkan rasa tidak senang dengan pengisytiharan perintah sedemikian dan mahu Presiden Republik (Mesir) menjauhkan diri daripada kesemua perkara berkaitan dengan cabang kehakiman dan agensinya," kata agensi berita Mena.

Mohammed berhadapan dengan demonstrasi dan kecaman ekoran perintah kuasa-kuasa khas itu. Sehari sebelum mengumumkan perkara itu, beliau dipuji kerana memainkan peranan penting dalam memeterai gencatan senjata antara Hamas-Israel bagi menyelesaikan konflik Gaza.

Seramai 261 orang cedera dalam demonstrasi di Kaherah dan beberapa bandar lain.

Penunjuk perasaan membaling batu dalam pertempuran dengan polis pagi semalam. Polis melepaskan gas pemedih mata.

Fosil penguin gergasi ditemui

Fosil penguin gergasi ditemui
Rangka rahang penguin gergasi menunjukkan perbezaan ketara dari segi saiz berbanding rangka penguin zaman kini.
Fosil penguin gergasi ditemui
Rangka rahang penguin gergasi menunjukkan perbezaan ketara dari segi saiz berbanding rangka penguin zaman kini.
BUENOS AIRES - Sekumpulan penyelidik Argentina berjaya menjumpai fosil penguin yang dianggar berusia 34 juta tahun dan berketinggian kira-kira dua meter di benua Antartika.

Pakar Paleontologi dan Muzium Sains Alam wilayah La Plata mendedahkan, baha rangka hidupan akuatik berkenaan ditemui dalam kawasan ais di benua sejuk selatan.

"Ini penguin terbesar yang pernah ditemui berdasarkan ketinggian dan jisim badan," kata pakar Carolina Acosta yang menyatakan rekod penguin terbesar sebelum ini dipegang  penguin Maharaja yang berketinggian 1.2 meter.

Ketua Penyelidik, Marcelo Reguero berkata, penemuan pada Selasa lalu, adalah satu petunjuk dalam kajian mereka yang mencari jawapan kepada susur galur keturunan penguin sehingga hari ini.

Jenazah Arafat digali Selasa ini

Jenazah Arafat digali Selasa ini
Jenazah Yasser Arafat dikebumikan di Ramlllah pada 2004.
RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat akan digali pada Selasa ini bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham lapan tahun yang lalu.

Yasser meninggal dunia di hospital tentera di Perancis pada November 2004, kira-kira sebulan selepas jatuh sakit.

Pemimpin Palestin dan isteri Allahyarham mendakwa Yasser kemungkinan telah diracuni.

Awal tahun ini, dokumentari krew Switzerland mendakwa ada kesan radioaktif pada pakaian Yasser, menguatkan lagi spekulasi Allahyarham kemungkinan meninggal dunia kerana diracuni.

Tawfik Tirawi yang mengetuai pasukan penyiasat Palestin berkata, pakar perubatan dari Switzerland, Perancis dan Rusia akan mengambil sampel dari tulang Yasser dan akan menguji sampel di negara masing-masing.

Menurut Tawfik, jenazah Yasser akan dikebumikan pada hari yang sama dengan diberikan penghormatan tentera tetapi tidak dibuka kepada awam.

Kerja-kerja menggali tempat Allahyarham dikebumikan dimulakan dia minggu lalu.

Cermin mata pintar buat si buta


Cermin mata yang dilengkapi kamera khas akan melalui beberapa proses ujian bermula Januari depan.
Cermin mata pintar buat si buta
Cermin mata yang dilengkapi kamera khas akan melalui beberapa proses ujian bermula Januari depan.
TONGKAT dan anjing mungkin tidak lagi digunakan menjelang 2015 kelak dengan adanya cermin mata khas buat orang buta.

Menurut pakar Universiti Oxford, Dr Stephen Hicks, alat bantuan melihat itu direka untuk menghalang seseorang yang berada dalam peringkat permulaan buta menjadi buta kekal.

"Beberapa kamera stereoskopik kecil dimasukkan ke dalam lapisan cermin berkenaan kemudian pemakainya dapat melihat dengan jelas apa sahaja objek di hadapan," Hicks yang juga pencipta alat bantuan melihat ini.

Bagaimanapun, Hicks berkata, alat bantuan khas itu perlu menjalani beberapa ujian bermula Januari depan melibatkan 160 sukarelawan bermasalah penglihatan di Oxford dan London.

Beliau menambah, selain membantu seseorang yang buta melihat dengan jelas, kos untuk memiliki sepasangan cermin mata itu jauh lebih murah iaitu £600 (RM2,943) berbanding kos melahit anjing pemandu mencecah £30,000 (RM147,157)
Get widget