Daniel Gonzales Guiza
Guiza menandatangani autograf pada sesi bertemu peminat di Hotel Thisle, kelmarin
PEMAIN antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza kini sah menjadi milik pasukan Johor selepas menandatangani kontrak selama setahun, semalam.

Majlis menandatangani kontrak itu berlangsung secara tertutup di Hotel Thistle, di sini, pada jam 1 petang dan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Pengurus Pasukan, Fandi Ahmad.

Bagaimanapun, nilai sebenar kontrak dan gaji yang bakal diterima pemain Getafe berusia 32 tahun itu tidak didedahkan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, penyerang import baru bagi pasukan Johor itu dijangka memulakan sesi latihan bersama skuad Johor selepas sambutan Krismas.

“Berdasarkan kepada syarat yang ada dalam kontrak, Guiza sepatutnya memulakan latihan dalam masa terdekat bersama pasukannya, tetapi Tunku Ismail memberikan pelepasan kepadanya untuk pulang ke Sepanyol bagi sambutan Krismas.

“Tetapi, pasukan Johor akan tetap memulakan sesi latihan pertama di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, bermula 12 November ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Suhairi berkata, sesi latihan pertama pasukan Johor akan dikendalikan oleh Pengurus merangkap Ketua Jurulatihnya, Fandi tanpa kelibat beberapa pemain yang terikat dengan perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Manakala, katanya, pasukan Johor United di bawah kendalian Ketua Jurulatihnya, Azmi Mohamad telah memulakan sesi latihan mulai petang semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan tekad Guiza yang mahu membantu Johor memenangi setiap piala utama dalam kempen bola sepak tempatan pada musim depan.

Pemain yang pernah mewakili Real Mallorca itu pernah memegang rekod penjaring terbanyak dengan 27 gol dalam 37 bagi saingan kancah La Liga dan membantu pasukan kebangsaan Sepanyol menjuarai kejohanan Euro 2008.

Pada sidang akhbar kelmarin, Guiza menyatakan keyakinan mampu menyesuaikan diri dalam saingan elit domestik turut melaungkan amaran awal untuk muncul penjaring terbanyak bagi memburu Kasut Emas serta menjaga status sebagai pemain import termahal dalam Liga Malaysia.

Pemain yang pernah beraksi bersama Mallorca dan Getafe, juga pernah beraksi dengan kelab Turki, Fenerbahçe dan turut membuat penampilan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab berkenaan.