Sunday 11 November 2012

Najib: Ambil formula rakyat AS


Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LINGGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat di negara ini mengambil pendirian rakyat di Amerika Syarikat apabila membuat pilihan untuk mengekalkan Presiden Barack Obama untuk tempoh empat tahun akan datang.
Justeru, beliau mahu rakyat di negara ini mengambil formula itu, bagi memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) meneruskan apa yang dinamakan kesinambungan ini.
Menurut Najib, rakyat di Amerika Syarikat, pada pilihan raya lalu, hanya ada dua pilihan, iaitu sama ada mereka hendak mengubah atau mereka hendak meneruskan kesinambungan pemerintahan kerajaan sedia ada.
Justeru, mereka sekali lagi telah memilih Parti Demokrat di bawah kepimpinan Obama berdasarkan keyakinan apa yang dibentang terhadap dasar parti berkenaan dan kepercayaan jelas bahawa masa depan mereka lebih terjamin sekiranya mereka meneruskan kesinambungan itu.
“Saya nak tentukan kepada semua bukan sahaja mereka yang hadir di sini tetapi untuk rakyat Malaysia di seluruh negara bahawa kalau memilih kerajaan Barisan Nasional, kita bukan sahaja menjanjikan kesinambungan tetapi kita mampu membawa transformasi dan kesinambungan tersebut.
“Jangan termakan dengan janji-janji manis yang tak mungkin dapat ditunaikan. Mereka janji hutang PTPTN akan dihapuskan, tol dimansuhkan, dan pelbagai janji lain tapi mereka tak sebut daripada mana hasil untuk melunaskan janji itu.
“Itu adalah janji-janji kosong dan sebab itulah pakar-pakar di luar tidak memberi penilaian kepada buku jingga mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini semalam.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Afdal.
Perdana Menteri berkata RTC di Melaka adalah yang ketiga selepas Perak dan Kelantan dan akan berperanan sebagai pemangkin ekonomi masyarakat luar bandar.
“Dijangkakan RTC berkenaan akan dimanfaatkan lebih 4,000 nelayan, penternak dan petani dan ia bertujuan untuk mempercepatkan peningkatan taraf hidup rakyat dan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar secara bersepadu dan usaha ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Selain berperanan sebagai pusat latihan kemahiran dan kios informasi 1Malaysia, ia juga akan menjadi pusat pertanian bernilai tinggi dan pusat pemprosesan produk agro makanan,” katanya.
Tambahnya, RTC di Melaka juga akan menjadi pusat pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kerjasama universiti, perkhidmatan kesihatan 1Malaysia dan pusat kemudahan pembiayaan kewangan dan agro pelancongan.

No comments:

Post a Comment

Get widget