Thursday 15 November 2012

Pemuda Pas perlu jadi 'pengkritik' dalam Pakatan


Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
KOTA BHARU – Pemuda Pas digesa supaya menjadi pengkritik dalam Pakatan Rakyat (PR) demi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Perwakilan Pemuda Pas Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, beliau mendapati tiada teguran diberikan terhadap PR dalam ucapan dasar Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan.

Katanya, beliau hairan mengapa tiada teguran dilontarkan kerana ia seolah-olah menunjukkan negeri yang diperintah oleh PR adalah ‘maksum’
“Tidak ada teguran diberikan kepada PR dalam ucapan semalam. Bagi Johor, keperluan untuk menjadi ejen pendesak dan pengkritik adalah penting.

“Adakah kerana negeri diperintah PR sudah jadi ‘maksum’. Kita kena perbaiki dan sebagai pemuda kita kena mainkan peranan sesuai dengan status kita,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar tersebut di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Zulkarnain Mohd Zaki mengkritik Pemuda Pas yang dilihat kurang ‘bermain’ dengan isu-isu semasa.
Katanya, beliau menyeru supaya Pemuda Pas untuk lebih efektif dan memberi respon terhadap generasi muda melalui dasar-dasarnya.

“Kita kena lebih efektif kerana apa saya lihat Pemuda Pas masih tidak sediakan polisi atau dasar terhadap PR. Isu hiburan, ekonomi dan sukan masih belum dikuasai dengan baik. Kita minta dewan pemuda pusat fikir perkara ini baik-baik kerana kita kena jadi juara isu semasa,” katanya.

Pandangan Mohd Zulkarnain itu turut dikongsi bersama perwakilan Perak, Mohd Nazri yang mempertikaikan ke mana perginya Pemuda Pas dalam menghadapi sesuatu isu semasa.

Katanya, beliau mendapati Pemuda Pas sering di belakang parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melibatkan sesuatu isu nasional.

“Sebagai contoh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN, NGO dan parti lain yang turun dahulu. Mana pergi kita? Saya ingin tekankan Islam mesti memimpin dan mesti dominasi isu-isu anak muda hari ini.

“Turun ke bawah untuk menyelami anak muda. Kena tarik sokongan anak muda untuk ubah persepsi,” katanya.

Ketiga-tiga perwakilan menyokong ucapan dasar Nasrudin.

No comments:

Post a Comment

Get widget