Sunday 25 November 2012

PRU13: BN letak ulama tanding di Kelantan

Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed
PASIR PUTEH -  Golongan ulama antara yang turut dicalonkan Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun), pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.
  
Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mereka terdiri daripada golongan yang berwibawa dan banyak berjasa kepada parti dan negara selain berpotensi untuk menang.
  
"Kita sudah mengenal pasti nama-nama mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup Program Pelancaran 1Komuniti 1Koperasi di sini, hari ini.
  
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, nama calon tersebut akan diumumkan lebih awal dari biasa untuk memberi peluang kepada rakyat menilainya.
  
"Biasanya, termasuk PRU ke-12, dua hari tarikh penamaan calon kita umumkan tetapi kali ini ia lebih awal dari itu," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Jeli.
  
Mustapa berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) juga akan turut diedarkan lebih awal supaya setiap rakyat Kelantan dapat meneliti dan membuat pertimbangan.
 
Katanya, manifesto itu, sedang dirangka yang menjurus ke arah perseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani yang sebelum ini sebahagiannya telah diumumkan seperti pembinaan jalan lebuh raya antara Kota Bharu-Kuala Krai.
  
Beliau berkata, keseluruhannya ia memberi masa depan yang lebih terjamin kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang memerintah negeri itu.

Mustapa berkata rakyat Kelantan perlu percaya dan yakin setiap yang terdapat dalam manifesto itu kelak, ia pasti akan ditunaikan sesuai dengan slogan 'Janji Ditepati'.
  
Pada majlis itu, beliau menerima sumbangan lebih RM3,000 dari Umno Bahagian Pasir Puteh untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel.

No comments:

Post a Comment

Get widget