Thursday 15 November 2012

Rajagobal masih optimis


K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
SUSULAN mencatat keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan malam tadi, jurulatih skuad Kebangsaan, Datuk K.Rajabobal tidak dapat menyembunyikan perasaanya apabila beliau mengakui kini bimbang terhadap prestasi anak buahnya yang dilihat tidak berada di tahap yang sebenar.

Jelasnya, hanya tinggal 10 hari lagi menjelang Piala Suzuki AFF 2012, para pemain tidak dapat memberikan corak permainan seratus peratus seperti yang diharapkan, sebaliknya gagal menandingi tempo permainan lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Kita gagal mengekalkan rentak menyerang selepas Safee Sali menjaringkan gol pertama.

"Dan saya lihat bahagian tengah skuad kebangsaan kerap kehilangan bola dan sering membuat hantaran yang tidak tepat," kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Semalam, Malaysia terus mempamerkan aksi kurang menyengat apabila sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

Harimau Malaya mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi sebelum kecundang 0-2 di tangan Thailand di Bangkok.

Sekiranya anak buah Rajagobal terus menampilkan aksi goyah sebagaimana ditampilkan ketika menentang Vietnam, Thailand dan Hong Kong, mereka mungkin sudah boleh melupakan misi untuk mempertahan kejuaraan Piala AFF Suzuki kali ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, Rajagobal mengakui kecewa dengan sebahagian pemain yang mana mereka tidak bermain pada tahap sebenar mereka.

Namun, jurulatih yang berusia 56 tahun itu tetap optimis dan menyifatkan dengan kekalahan ini, beliau dapat mengenal pasti karakter beberapa pemain dalam skuadnya.

"Saya akui kecewa kerana beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar mereka. Mereka juga gagal menandingi tempo permainan yang lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Tapi, saya yakin dengan kekalahan ini bagus buat pemain dan akan memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih bekerja keras," jelasnya yang tidak menafikan

Hong Kong beraksi dengan corak permainan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi menyebabkan hasratnya mahu mencari kemenangan gagal dicapai, Rajagobal bagaimanapun enggan menunding jari kepada mana-mana pihak, namun menyifatkan kesilapan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Kesilapan yang berlaku adalah tanggungjawab pasukan dan perlu dijadikan pengajaran di masa depan.

"Dalam situasi macam ini, pemain harus ada keyakinan, dan kesilapan seperti ini harus dijadikan pengajaran agar pemain akan lebih serius dalam perlawanan akan datang," jelas beliau.

Skuad Harimau Malaya bakal menamatkan aksi persahabatan menentang Bangladesh di stadium yang sama pada 20 November ini.

No comments:

Post a Comment

Get widget