Saturday 10 November 2012

Tidak pincang tanpa Mat Yo


Mat Yo
Mat Yo
KOTA BHARU – Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK), menyifatkan jika benar penghijrahan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha berlaku, ia tidak memberi kesan kepada prestasi The Red Warriors dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Timbalan Presidennya, Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan berkata, ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali panggilan Mat Yo, tidak perlu dirisaukan kerana kejayaan Kelantan sebenarnya tidak bergantung pada seseorang individu.

“Jika benar hasrat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hendak melepaskan Mat Yo ke mana-mana pasukan lain, saya fikir ia sedikit pun tidak menggugat perancangan Kelantan pada musim depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Bola sepak dimainkan secara berpasukan. Sejarah kejayaan pasukan Kelantan dalam empat tahun kebelakangan ini, membuktikan kita tidak terlalu bergantung pada mana-mana pemain tertentu.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, penyerang kebangsaan itu meluahkan hasrat untuk beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan, setelah mendapat tawaran gaji lumayan RM80,000 oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) baru-baru ini.

Menurut Mohd Izani, jika Norshahrul Idlan tetap menyimpan hasrat untuk berhijrah, beliau harap pemain tersebut dapat menyelesaikan segala urusan termasuk menebus kontrak dengan pihak Kafa secara profesional.

Dalam perkembangan sama, Mohd Izani turut menyifatkan masalah perpindahan pemain hari ini berpunca daripada sikap mengambil mudah dalam kalangan pemain dan persatuan bola sepak negeri mengenai sesuatu kandungan kontrak dan polisinya.

“Amat dukacita ketika kita sedang menuju ke arah profesional tetapi masalah seperti ini masih berlaku. Baik pemain atau persatuan, mereka kena tahu perkara penting yang terkandung di dalam kontrak.

“Situasi ini yang menimbulkan kekecohan mengenai isu penghijrahan Norshahrul Idlan. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri perlu berusaha memperbetulkan keadaan ini.

“Peraturan sudah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), cuma kita tidak buat rujukan, sebab itu keadaan menjadi tambah bercelaru. Pihak FAM sendiri masih jahil dalam isu perpindahan pemain walaupun Fifa menetapkan undang undang mengenainya.

Menurut Mohd Izani, kes membabitkan Norshahrul Idlan membuktikan masih ada segelintir pemain dan persatuan bola sepak negeri tidak memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam memeterai sesuatu perjanjian.

No comments:

Post a Comment

Get widget