Sunday 29 September 2013

Johor DT sebelah kaki ke separuh akhir




Johor Darul Takzim (Johor DT) mencerahkan peluang ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-2 ke atas juara bertahan, Kelantan dalam saingan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada hari Sabtu.

Skuad Harimau Selatan kendalian Azmi Mohamed tidak menunggu lama untukmembuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Jasazrin Jamaluddin seawal minit keempat sebelum penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menggandakan kedudukan pada minit ke-20.

Dua minit kemudian, pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin merapatkan jurang gol sebelum Safiq Rahim meletakkan pasukan tuan rumah berada dalam keadaan selesa dengan gol ketiga pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, pemain pertahanan, Obinna Nwaneri menjaringkan gol kedua untuk Kelantan pada minit ke-49 sebelum Leonel Nunez memastikan pasukan tuan rumah membawa kelebihan selesa ke Kota Baharu dengan gol keempat menerusi sepakan percuma pada minit ke-81.

Di Stadium Jalan Besar Singapura, pasukan tuan rumah yang merupakan juara Liga Super, Lions XII hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hasil jaringan tunggal pemain pertahanannya, Madhu Mohana pada minit ke-39.

Pertembungan membabitkan naib juara dan juara Liga Perdana iaitu Sime Darby FC dan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pahang menundukkan Selangor PKNS FC, 3-2 pada satu lagi aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Aksi suku akhir kedua akan berlangsung pada 4 Okt ini melibatkan perlawanan ATM dan Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Selangor PKNS FC bertemu Pahang di Stadium Shah Alam.

Perlawanan antara Kelantan menentang Johor DT di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu serta aksi Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching, akan berlangsung sehari kemudian.

No comments:

Post a Comment

Get widget