Thursday 10 October 2013

Wanita dakwa dikurung majikan, terjun bangunan

Seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa dirinya dikurung majikan, bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Beserah, dekat Kuantan.
  
Dalam kejadian 7.30 malam tadi itu, wanita terbabit yang dikenali sebagai Marry, 22, berasal dari Pelembang, Indonesia, cedera di kaki dan bahagian pinggang dalam usahanya melepaskan diri.
  
Tindakan wanita itu yang pada mulanya menggunakan tali selepas keluar menerusi tingkat untuk ke tingkat bawah bangunan itu, disaksikan beberapa pekerja sebuah restoran berhampiran.
  
Seorang pekerja restoran itu, Shamir Muhammad, 32, berkata dia yang baru selesai solat Maghrib ternampak wanita berkenaan menggunakan seutas tali untuk ke tingkat bawah.
  
"Saya terdengar suara wanita meminta tolong dan mahu turun. Apabila saya keluar, secara tiba-tiba saya lihat dia bertindak terus terjun dari tingkat tiga.

"Saya cuba menyambut dia tetapi hanya sempat menahan leher dan badannya daripada terhantuk ke dinding," katanya kepada pemberita di Kuantan.
  
Wanita itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
  
Dia mendakwa telah dikurung majikannya sejak tiga hari lepas.
  
"Saya mahu lari, saya tidak mahu dikurung begini, telefon bimbit dan pasport saya dipegang oleh majikan menyebabkan saya tidak dapat pergi ke mana-mana.
  
"Saya baru sampai ke Malaysia sejak beberapa hari lepas untuk bekerja sebagai pencuci tetapi saya dikurung pula, saya mahu pulang ke Indonesia," katanya ketika ditemui di Kuantan.
  
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi berkata polis masih menyiasat kejadian itu meliputi dakwaan dan majikan wanita terbabit.

No comments:

Post a Comment

Get widget