Sunday, 18 November 2012

Jawatan PM boleh bincang, Anwar beritahu Pas


Anwar_Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Gesaan wakil Dewan Ulama Pas Pusat yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggalas jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Putrajaya bukan "satu masalah", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik," kata Ketua Umum PR itu secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor (Unisel), di sini pagi tadi.
Pemilihan calon Perdana Menteri jika PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) antara persoalan yang dibangkitkan perwakilan Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-58.
Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam mengulangi pendiriannya bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli parti itu mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.
"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online lewat semalam.
Tidak kurang pula sokongan dan gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahukan Anwar menggalas tugas penting itu kerana beliau adalah calon paling layak.
Gesaan Lim Kit Siang itu dibuat ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin.
Pendapat sama sebelum itu disuarakan oleh anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.
Sebaliknya, Hadi rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

Hasan Ali: PRU13 penentu jatuh bangun Melayu


Hasan Ali
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali
GEORGETOWN - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan menjadi penentu kepada jatuh bangun bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali.
Justeru, beliau berkata bagi memastikan agama Islam terus diagungkan, bangsa Melayu terus dimartabatkan dan institusi raja terus diperkasakan, rakyat perlu menolak daripada mengundi calon pakatan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
"Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang menjadi penentu untuk bangsa Melayu, agama Islam di bumi Malaysia.
"Bayangkan tuan-tuan kalau pakatan pembangkang menang kita diberitahu bahawa mereka nak menjadikan Malaysia ini satu republik dan ini kemungkinan akan berlaku kalau saudara mengundi pakatan pembangkang, memenangkan mereka," katanya pada ceramah perdana di Kampung Suluk, Teluk Kumbar dekat sini malam tadi.
Hasan yang merupakan bekas naib presiden Pas berkata, negara memerlukan sokongan daripada rakyat untuk turut serta menggerakkan jentera dalam usaha menggagalkan hasrat pakatan pembangkang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik.
Beliau berkata, kajian menunjukkan penganjuran ceramah seumpamanya yang berterusan dilihat mampu menyampaikan mesej kepada rakyat sekaligus memberikan impak kepada pola pengundian rakyat pada PRU13.
Dalam perkembangan lain, Hasan mengkritik kepimpinan tertinggi Pas  yang tidak membincangkan isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama, pada Muktamar Tahunan Pas ke-58.
"... saya sedih dalam Muktamar Pas yang menghimpunkan pimpinan hampir 2,000 perwakilan...sebut tentang DAP, sebut tentang PKR, sebut tentang (nak tawan) Putrajaya tetapi tidak sebut mengenai kenyataan Nurul Izzah...Parti Islam SeMalaysia, apa nak jadi ni?" katanya.

Dewan Ulama: Ahli Pas mahu Hadi jadi PM


ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG
PENGKALAN CHEPA - Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain mengulangi pendiriannya bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli parti itu mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kerajaan Pusat.
"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," kata beliau kepada Sinar Harian Online lewat semalam.

Soal itu mendapat perhatian di Kelantan yang menjadi lokasi Muktamar Tahunan Pas ke-58.

[IKUTI BANCIAN ONLINE MENGENAI ISU INI]

Ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim paling layak menjawat jawatan itu.
Pendapat sama sebelum itu disuarakan oleh anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.
Isu itu menjadi 'lebih panas' semasa perbahasan ucapan dasar presiden pada muktamar pagi semalam apabila Hairun yang mewakil Dewan Ulama menegaskan Hadi wajar dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang pada PRU13.

Sebaliknya, Hadi pula berkata, beliau rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

"Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya. Siapa yang jadi Perdana Menteri, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat," kata beliau pada sidang media tengah hari semalam.

Walaupun nama Anwar sering disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia, Hairun berpendapat bahawa ia hanya pandangan peribadi sesetengah pemimpin pakatan.

Beliau juga berkata, masih belum ada sebarang perbincangan yang berlangsung dalam perikatan pembangkang itu bagi menentukan siapa bakal Perdana Menteri Malaysia jika pembangkang menakluk Putrajaya.
"Saya rasa perkara ini tidak akan menjadi isu, tidak ada satu persepakatan untuk meletakkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

"Setakat yang kita tahu benda (jawatan PM) ini masih belum ada kesepakatan.
"Belum ada perbincangan khusus yang menentukan, jadi ia lebih kepada pandangan peribadi. Jadi ia tidak dianggap sebagai satu pendirian parti sendiri," katanya.
Malah ketika ditanya, atas dasar apa beliau menyatakan bahawa Hadi patut dilantik sebagai Perdana Menteri, Hairun berkata, hanya kepimpinan Pas yang mampu membawa syariat Islam dalam pentadbiran kerajaan.
"Dari segi kami alangkah baiknya kalau tuan guru sendiri. (Tetapi) kalau tuan guru sendiri setelah berbincang (dan) buat keputusan orang tertentu yang akan menjadi Perdana Menteri, bukan tuan guru, maka kami akan
dengar lah apa yang dinyatakan oleh tuan guru," ujar beliau.

Ahli Pas bebas suarakan pandangan dalam muktamar


Ahli Pas bebas suarakan pandangan dalam muktamar
Abdul Hadi menyambut ketibaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggambarkan parti itu sebagai 'pasar borong' di mana ahli bebas menyuarakan pandangan mereka.
Menurutnya, seperti pasar borong yang mengandungi pelbagai barangan, termasuk barangan kelas satu, dua dan 'barang reject', Pas juga mempunyai ahli pelbagai latar belakang termasuk yang gemar suarakan pandangan melalui media massa.

"Dalam pasar borong, semua kedai ada bukannya kedai kecil yang senang untuk diatur. Ini menunjukkan kekayaan Pas yang menerima semua orang dalam parti.
"Selepas ini, kita tarbiah dan  didik mereka dan matang hasil didikan itu," katanya pada sidang media Muktamar Tahunan Pas di Dewan Tarbiah Islamiah di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung ahli yang sering mengkritik parti secara terbuka.

Menurutnya, keterbukaan ini menandakan demokrasi dalam Pas yang membenarkan orang bercakap dalam muktamar dan kemudiannya akan dijawab dalam sesi penggulungan.
"Ada yang wajar ada yang tidak wajar, kita kena sedar ada batasnya. Selepas itu kita akan dijawab.
"Apa lagi zaman kini 'langit terbuka', bukan sahaja yang lidah panjang, tetapi tangan panjang. Tulis dalam internet, beri pandangan dalam Twitter, Facebook dan orang ambil," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya, sama ada beliau akan bertanding dua kawasan Dun dan Parlimen serentak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut belum diputuskan lagi.

Katanya, dasar Pas bertanding hanya satu kerusi sahaja. Bagaimanapun, terserah kepada kepimpinan parti sekiranya ada pengecualian.

Husam Musa: Pas perlu menang 60 kerusi Parlimen


Husam Musa
Datuk Husam Musa
KOTA BHARU - Pas, yang mengadakan muktamar tahunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), perlu menang sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen, kata Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.
Sehubungan itu menurut beliau, kemenangan yang paling mustahak dalam menentukan hala tuju perjuangan parti berusia lebih enam dekad ini.

“Sehebat mana perjuangan kita dalam kerangka demokrasi, kemenangan yang paling mustahak.
"Berapa kerusi yang kita boleh menang? Paling tidak kita kena menang 60 kerusi dan sekarang kita fokus kerusi mana yang boleh menang,” kata beliau ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-50 di Pengkalan Chepa.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, pada PRU12 empat tahun lalu, Pas  memberi fokus ke atas 40 kerusi, tetapi ketika itu 10 kerusi tersasar daripada mencapai sasar kerana faktor undi pos.
Menurut Husam, terdapat 11 kawasan Parlimen yang majoriti undi membabitkan tentera.
Husam yang juga Pengerusi Bersama Manifesto Pakatan Rakyat melontarkan pesanan supaya jangan terlalu ghairah ketika melangkah untuk mencapai kemenangan.
PRU13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan.

Katanya, setiap ahli parti perlu bertindak bagi mengolah Pas  untuk menang dan mudah diterima semua pihak.

Oleh itu kata beliau, kunci kepada kejayaan itu ialah merakyatkan perjuangan dengan bekalannya "Negara Berkebajikan."
“Jangan terlalu hendak menang tanpa menyemak kedudukan kita sebenarnya. Pengkritik telah mengkritik kononnya kita telah meninggalkan perundangan Islam sehingga diperkenalkan pula konsep Negara Berkebajikan.
“Jangan pula kita hilang rasa tawaduk kepada Al-Malik dan menerimalah apa yang ditentukan ALLAH," kata Husam.
Katanya: "Jangan dilihat kita terlalu gelojoh, jangan pula kita menunduk sehingga terhantuk. Kita hendak kaji apakah punca kita kalah sebelum ini dan bagaimana pula cara hendak menang."
“Selepas muktamar ini kita balik dan semak di kawasan masing-masing,” kata Husam.

Taufan wang: Hadi buat fitnah, kata pemimpin Umno


Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
SHAH ALAM – Dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pengundi akan berhadapan dengan "taufan wang", yang akan diamalkan oleh parti lawan - dilihat merujuk kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), satu usaha mahu mengalih pandangan rakyat terhadap kemelut sebenar melanda parti Islam itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kepimpinan Pas cuba mengalih isu susulan arus kecaman bahawa parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sudah tersasar daripada perjuangan asalnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi juga menyifatkan “taufan” yang kini melanda Pas susulan kerjasamanya dengan DAP, yang kian rapuh di sebalik isu hukum hudud.

“Taufan itu ialah apabila Dewan Ulama dan Pemuda Pas dengan tegas mahu pucuk pimpinan Pas kembali kepada perjuangan asal Pas seperti negara Islam dan hudud, sedangkan kini pucuk pimpinan Pas menggantikannya dengan perjuangan negara kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau percaya kenyataan Abdul Hadi itu dibuat ekoran Umno-BN komited untuk menang dengan selesa pada PRU13, dengan “apa cara sekalipun”, namun itu tidak bermakna “matlamat menghalalkan cara”, sebaliknya mereka akan menggerakkan semua jentera di semua peringkat dengan semua sumber tenaga mereka.

"Apa cara sekalipun tidak bermaksud melakukan semua perkara sehingga termasuk perkara yang haram, yang melanggar undang-undang atau yang bertentangan dengan nilai-nilai murni demokrasi.

"Kami tidak akan membeli undi,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut membidas Hadi sambil menyifatkan sebagai tuduhan melampau kerana selama ini Kerajaan Persekutuan membantu rakyat tanpa mengira masa atau keadaan, tidak terhad menjelang PRU13 semata-mata.

Katanya, pemberian subsidi dan pelbagai program kebajikan kepada rakyat sentiasa disalurkan sepanjang tahun dan tuduhan Hadi itu tegasnya tidak berasas.

“Jadi saya tak faham apa yang dimaksudkan oleh Presiden Pas itu, sebab kita bantu rakyat pada tahun pertama dan kedua, subsidi berterusan diberikan bernilai berbilion ringgit, bermacam bantuan, itu tidak menggambarkan langsung tentang taufan wang," katanya.

Kesal dengan kenyataan Hadi itu, Rahman, pemimpin muda dari Sabah mempersoalkan jika benar “taufan wang” itu diamalkan Umno-BN, bagaimana pula dengan pemberian pelbagai bantuan oleh empat Kerajaan Negeri PR sejak 2008.

“Negeri-negeri mereka pun berbuat demikian, ini kadang-kadang saya tak faham, kalau di Selangor sendiri bantuan itu, bantuan ini... apakah itu juga taufan wang?”

“Ingat, Selangor adalah negeri yang paling kaya dalam Malaysia, saya pasti kalau tuduhan itu dilemparkan kepada Kerajaan Persekutuan, perkara yang sama boleh dilemparkan kerajaan negeri yang mentadbir negeri yang paling kaya di Malaysia,” tegasnya lagi.

Kelmarin, Hadi mendakwa seluruh negara akan berdepan dengan "taufan wang" parti lawan menjelang PRU13.

Dakwa Hadi lagi menjelang PRU13, seluruh negara akan berdepan dengan taufan wang yang akan masuk ke setiap rumah dan jiwa manusia di negara ini.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamad Aziz menegaskan, dakwaan Hadi satu serangan berbaur fitnah dan penuh dengan pembohongan.

“Pas dari dulu sampai hari ini... dulu, kini dan selamanya menyerang Umno dengan fitnah, pembohongan, putar belit fakta, fitnah, itu cara dia.

“Sangka buruk dia pada Umno tak akan habis, jadi dia kata macam-macam, ini sekarang kata Umno pakai duit, ini cara dia untuk meyakinkan orang dia.

“Tak pelik, dia akan sebut macam-macam, kata Umno zalim... saya nak tanya dia satu saja, apa zalim Umno? Cuba tunjuk pada saya," katanya lagi.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Sri Gading turut mempersoalkan kezaliman yang dilakukan Pas terhadap rakyat Kelantan yang menderita akibat masalah bekalan air bersih yang masih berlarutan meskipun sudah 22 tahun parti Islam itu memerintah.

“Air pun tak boleh selesai, nanti dia akan jawab macam-macam lah!

“Ini cara dia, Pas ini tak ada modal lain melainkan fitnah, pembohongan, putar belit fakta, itu cara dia,” katanya.

Anwar: Tadbiran Kerajaan Negeri Pakatan lebih bersih


anwar ibrahim
Anwar Ibrahim
KOTA BHARU- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini sasau apabila sanggup memainkan pelbagai isu termasuk memutar belitkan kenyataan Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam.
Dakwa beliau, ia jelas apabila parti itu sudah tidak mempunyai perkara untuk dipertahankan selain memfitnah Pakatan Rakyat (PR).

“Umno kini sasau, meroyan dan nyanyuk serta ‘gedebe’, sekejap itu, sekejap ini, sebabnya mereka tidak ada benda yang hendak dipertahankan, yang mana kalau umat dan rakyat ini termakan dengan fitnah ini, itu petanda punah- ranah negara ini.
“Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah ranahlah negara kita. Kita perlu selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang, dengan menjatuhkan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, selain 40,000 penyokong termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam masa sama, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menafikan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang akan muflis jika ditadbir PR, sebaliknya lebih membangun.
“Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi pentadbiran kita, itu semua boleh baca dalam laporan Ketua Audit Negara,” katanya.
Tegasnya, dakwaan itu tidak benar kerana sebelum ini jumlah hutang negeri Kelantan yang banyak ditinggalkan Umno dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Dan terkini berlakunya lebihan pendapatan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
Anwar berkata, rakyat kini menunjukkan sokongan terhadap janji yang ditawarkan Pakatan Rakyat termasuk termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan cukai eksais sebanyak 20 peratus, sekiranya pakatan itu berjaya menawan Putrajaya.

Mengulas ucapan Abdul Hadi yang sebelum itu menekankan soal etika, sistem nilai dan tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun depan.
Sementara itu, Abdul Hadi turut meyakinkan rakyat mengenai kemampuan PR untuk mentadbir negara dengan adil, amanah dan bersih jika diberi mandat mentadbir Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang.
”Kalau ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan. Kami tidak mahu pemimpin kerajaan yang rasuah...harta negara dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan rasuah, di negara lain pemimpin yang melakukan kesilapan akan dipecat, kita bila lagi, pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan Rakyat.
Kita laksana pentadbiran yang baik,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu, turut mengulangi keyakinan PR akan berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum nanti dan menguasai Putrajaya berdasarkan kesepakatan bersama.

Thursday, 15 November 2012

Rajagobal masih optimis


K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
SUSULAN mencatat keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan malam tadi, jurulatih skuad Kebangsaan, Datuk K.Rajabobal tidak dapat menyembunyikan perasaanya apabila beliau mengakui kini bimbang terhadap prestasi anak buahnya yang dilihat tidak berada di tahap yang sebenar.

Jelasnya, hanya tinggal 10 hari lagi menjelang Piala Suzuki AFF 2012, para pemain tidak dapat memberikan corak permainan seratus peratus seperti yang diharapkan, sebaliknya gagal menandingi tempo permainan lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Kita gagal mengekalkan rentak menyerang selepas Safee Sali menjaringkan gol pertama.

"Dan saya lihat bahagian tengah skuad kebangsaan kerap kehilangan bola dan sering membuat hantaran yang tidak tepat," kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Semalam, Malaysia terus mempamerkan aksi kurang menyengat apabila sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

Harimau Malaya mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi sebelum kecundang 0-2 di tangan Thailand di Bangkok.

Sekiranya anak buah Rajagobal terus menampilkan aksi goyah sebagaimana ditampilkan ketika menentang Vietnam, Thailand dan Hong Kong, mereka mungkin sudah boleh melupakan misi untuk mempertahan kejuaraan Piala AFF Suzuki kali ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, Rajagobal mengakui kecewa dengan sebahagian pemain yang mana mereka tidak bermain pada tahap sebenar mereka.

Namun, jurulatih yang berusia 56 tahun itu tetap optimis dan menyifatkan dengan kekalahan ini, beliau dapat mengenal pasti karakter beberapa pemain dalam skuadnya.

"Saya akui kecewa kerana beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar mereka. Mereka juga gagal menandingi tempo permainan yang lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Tapi, saya yakin dengan kekalahan ini bagus buat pemain dan akan memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih bekerja keras," jelasnya yang tidak menafikan

Hong Kong beraksi dengan corak permainan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi menyebabkan hasratnya mahu mencari kemenangan gagal dicapai, Rajagobal bagaimanapun enggan menunding jari kepada mana-mana pihak, namun menyifatkan kesilapan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Kesilapan yang berlaku adalah tanggungjawab pasukan dan perlu dijadikan pengajaran di masa depan.

"Dalam situasi macam ini, pemain harus ada keyakinan, dan kesilapan seperti ini harus dijadikan pengajaran agar pemain akan lebih serius dalam perlawanan akan datang," jelas beliau.

Skuad Harimau Malaya bakal menamatkan aksi persahabatan menentang Bangladesh di stadium yang sama pada 20 November ini.

PBNJ bincang isu Mat Yo Isnin ini


Mat Yo
Mat Yo
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini bagi membincangkan isu perpindahan penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha ke pasukan itu musim depan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Setiausaha Kehormat PBNJ Suhairi Hashim berkata selain isu perpindahan pemain itu, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim merangkap Presiden PBNJ dijangka akan membincangkan perkara lain termasuk penjualan tiket serta persediaan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia musim depan.

"Kita tidak mahu memanjangkan isu ini (perpindahan Norshahrul ke Johor) bagi mengelakkan lebih banyak salah faham antara mana-mana pihak... jadi kita akan membuat keputusan mengenai perkara ini pada mesyuarat khas 19 Nov ini di Johor Baharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa semalam dipetik sebagai berkata pihaknya bersetuju untuk melepaskan penyerang berusia 26 tahun itu beraksi bersama Johor musim depan sekiranya mereka memenuhi syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan Kafa.

Annuar turut dilaporkan sebagai berkata bahawa Kafa terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu tahun ini.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan gelaran Mat Yo di kalangan rakan sepasukan menjadi sasaran PBNJ berdasarkan reputasi pemain itu yang meraih anugerah pemain paling bernilai (anugerah Supermokh) serta penyerang terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Dalam perkembangan berasingan, Suhairi berkata pasukan Johor FA yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain import terbaharu dari Itali, Simone Del Nero yang bakal tiba bersama ejennya esok di Johor Baharu.

Beliau berkata bekas pemain kelab Serie A Itali iaitu Lazio dijangka mengikat kontrak selama setahun bersama PBNJ.

Sebelum ini, mereka telah berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzalez Guiza juga dengan kontrak selama setahun.

Sebagai rekod, PBNJ telah berjaya mendapatkan khidmat lima pemain ternama tempatan untuk beraksi bersama mereka musim depan iaitu bekas kapten Selangor Safiq Rahim, tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohamad Zaquan Adha,  Mohd Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu Mohd Muslim Ahmad.

Persahabatan: Malaysia-Hong Kong seri 1-1

Safee Sali
Safee Sali melakukan percubaan sementara dikawal rapat oleh pemain Hong Kong, Lee Chi Ho (kanan) dan Chan Wai Ho (kiri) dalam perlawanan persahabatan.

BERIKUT keputusan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.


Malaysia (1) - Hong Kong (1)

Jaringan Malaysia:
Safee Sali minit ke-57

Jaringan Hong Kong:
Lam Hok Hei minit ke-87

Harapan Malaysia semakin pudar pada Piala Sultan Johor

JOHOR BAHARU - Impian Malaysia untuk mempertahankan Piala Sultan Johor semakin pudar apabila kalah 3-2 kepada naib juara Australia pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.
    
Ini merupakan kekalahan kedua-dua berturut-turut buat skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas dipalit kekalahan mengejut 5-2 oleh New Zealand kelmarin.
    
Bagaimanapun, pasukan negara menampilkan aksi yang lebih cemerlang berbanding sebelum ini walaupun dikejutkan dengan gol pembukaan Australia menerusi jaringan Blake Govers pada minit ke-23.
    
Pemain negara Muhammad Firhan Ashaari bagaimanapun bingkas menyamakan kedudukan menerusi hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-34 diikuti jaringan oleh Amir Farid Ahmad Fuzi seminit kemudian.
    
Sebaik perlawanan bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia terus mengasak dengan mengatur serangan demi serangan ke gawang pasukan lawan.

Bagaimapun rentak permainan pasukan negara mula pincang apabila kapten pasukan iaitu Muhammad Noor Feez Ibrahim dan Shazril Irwan Nazli diperintah keluar padang buat seketika pada minit ke-50 setelah membantah keputusan pengadil perlawanan Coen van Bunge.
    
Kesempatan itu pantas digunakan sepenuhnya oleh pasukan anak didik Paul Gaudoin untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-52 melalui Flynn Ogilvie.  
    
Dengan hanya sembilan pemain, Malaysia yang mendapat dua percubaan pukulan sudut penalti gagal memanfaatkan peluang itu untuk menyamakan kedudukan.
    
Kane Posselt muncul wira pasukan Australia apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.
    
Hasrat lebih 4,000 penonton untuk menyaksikan skuad negara menyamakan kedudukan sekali lagi hampa apabila Muhammad Noor Faeez gagal memanfaatkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-65 dan 66 menyaksikan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.

Keputusan pengadil perlawanan dari Belanda itu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan penonton yang memaksa pihak urusetia terpaksa mengiringi beliau sebaik perlawanan tamat.
    
Sementara itu,  Muhammad Dharma Raj menyifakan tindakan pengadil melayangkan kad kuning dan memerintah dua pemain keluar padang buat seketika merupakan satu tindakan kejam.
    
"Kekalahan ini memberikan tekanan kepada kami dan ini kami mesti memenangi dua baki perlawanan dengan Pakistan dan India jika mahu melangkah ke peringkat akhir," katanya.
    
Beliau turut mengakui pasukan negara gagal memberikan persembahan terbaik dan tidak dapat menyempurnakan sembilan pukulan sudut penalti untuk meraih kemenangan.
    
Dalam pada itu, pada perlawanan lain, Jerman mengalahkan New Zealand 5-1 manakala India dan Pakistan seri tanpa jaringan.
    
Esok, Australia akan menentang Jerman pada jam 4.05 petang, New Zealand bertemu India (6.05 petang) manakala Malaysia bertemu Pakistan pada jam 8.05 malam

Astro dapat hak penyiaran tiga musim Liga Perdana Barclays di Malaysia

KUALA LUMPUR - Astro Malaysia Holdings Bhd, kumpulan hiburan media pengguna bersepadu terkemuka Malaysia, telah memenangi tender bagi hak penyiaran Liga Perdana Barclays (BPL) di Malaysia bagi tiga musim mulai 2013/14 hingga 2015/2016.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan ini, kesemua 380 perlawanan BPL akan disiarkan secara langsung di Astro.

"Kami amat teruja untuk memperkukuhkan lagi penglibatan kami dengan liga bola sepak paling popular itu dengan membawakan tiga lagi aksi musim bola sepak dari BPL.

"Sejak 1997, Astro telah menyiarkan aksi BPL sebagai sebahagian daripada persembahan menyeluruh program bola sepak bagi peminat bola sepak Malaysia.

"Sekarang, dengan 'Astro On the Go', mereka boleh menikmati acara sukan terbaik melalui peranti mudah alih mereka di mana sahaja mereka berada, serta menikmatinya dalam keselesaan di rumah mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Datuk Rohana Rozhan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamore, berkata: "Kami amat berbesar hati Astro telah memilih untuk melabur dalam hak penyiaran kami bagi musim 2013/14 dan 2015/16.

"Mereka adalah rakan kongsi jangka panjang Liga Perdana ini dan terkenal dengan penyiaran sukan yang berkualiti.

"Kami tahu mereka akan terus menyiarkan Liga Perdana Barclays bagi tontonan peminat bola sepak Malaysia dengan cara yang menyeronokkan dan inovatif," tegasnya.

Nik Abduh sedia tanding di Pagoh jika parti arah


Nik Abduh
KOTA BHARU - "Saya macam Presiden (Pas). Apa yang diputuskan oleh parti, itulah yang saya yang... (saya tanding). Tak tanding pun tak apa," demikian reaksi Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat,  Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung saranan supaya beliau mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau mengulas cadangan perwakilan dari Kelantan, Ahmad Marzuk Syaari ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya diarahkan pucuk pimpinan parti berbuat demikian, Nik Abduh berkata, "bersedia di mana-mana."

"Itu keputusan kita bersama bahawa apabila kita diamanahkan, itu yang disuruh oleh parti... kita akan (ikut)," katanya.

Marzuk dalam perbahasannya berkata, Pemuda Pas perlu menyahut cabaran untuk bertanding di luar zon selesa sebagai bukti kesungguhan sayap parti itu.

"Sekarang ini bukan sekadar Kelantan, tetapi agenda untuk menuju ke Putrajaya, mana mungkin kita tidak mampu bertanding di mana-mana kerusi dicalonkan kalau sekiranya kita mengatakan kita hendak ke Putrajaya.

"Memandangkan sekarang ini, yang sebaiknya kita letak Timbalan Ketua Pemuda kita, kita calonkan bertanding di Pagoh, di Johor," katanya.

Jawapan Nik Abduh dilihat senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa beliau sedia menjadi calon di mana-mana kerusi Parlimen termasuk menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan.

Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang.

Beliau sebelum itu mengejutkan negara apabila menyatakan beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan jika diputuskan demikian oleh parti.

Pemuda Pas perlu jadi 'pengkritik' dalam Pakatan


Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
KOTA BHARU – Pemuda Pas digesa supaya menjadi pengkritik dalam Pakatan Rakyat (PR) demi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Perwakilan Pemuda Pas Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, beliau mendapati tiada teguran diberikan terhadap PR dalam ucapan dasar Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan.

Katanya, beliau hairan mengapa tiada teguran dilontarkan kerana ia seolah-olah menunjukkan negeri yang diperintah oleh PR adalah ‘maksum’
“Tidak ada teguran diberikan kepada PR dalam ucapan semalam. Bagi Johor, keperluan untuk menjadi ejen pendesak dan pengkritik adalah penting.

“Adakah kerana negeri diperintah PR sudah jadi ‘maksum’. Kita kena perbaiki dan sebagai pemuda kita kena mainkan peranan sesuai dengan status kita,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar tersebut di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Zulkarnain Mohd Zaki mengkritik Pemuda Pas yang dilihat kurang ‘bermain’ dengan isu-isu semasa.
Katanya, beliau menyeru supaya Pemuda Pas untuk lebih efektif dan memberi respon terhadap generasi muda melalui dasar-dasarnya.

“Kita kena lebih efektif kerana apa saya lihat Pemuda Pas masih tidak sediakan polisi atau dasar terhadap PR. Isu hiburan, ekonomi dan sukan masih belum dikuasai dengan baik. Kita minta dewan pemuda pusat fikir perkara ini baik-baik kerana kita kena jadi juara isu semasa,” katanya.

Pandangan Mohd Zulkarnain itu turut dikongsi bersama perwakilan Perak, Mohd Nazri yang mempertikaikan ke mana perginya Pemuda Pas dalam menghadapi sesuatu isu semasa.

Katanya, beliau mendapati Pemuda Pas sering di belakang parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melibatkan sesuatu isu nasional.

“Sebagai contoh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN, NGO dan parti lain yang turun dahulu. Mana pergi kita? Saya ingin tekankan Islam mesti memimpin dan mesti dominasi isu-isu anak muda hari ini.

“Turun ke bawah untuk menyelami anak muda. Kena tarik sokongan anak muda untuk ubah persepsi,” katanya.

Ketiga-tiga perwakilan menyokong ucapan dasar Nasrudin.

PBTM: 30 peratus bekas tentera belum daftar sebagai pengundi

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 peratus bekas tentera dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.
   
Beliau berkata ketika ini terdapat 350,000 bekas tentera sama ada yang berpencen atau tidak di seluruh negara dan seharusnya mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi segera berbuat demikian.
   
"Ini kerana apabila seseorang anggota tentera itu berhenti, mereka tidak boleh lagi mengundi dalam kem," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Beliau berkata Kementerian Pertahanan sewajarnya memainkan peranan mengingatkan bekas tentera agar mendaftar sebagai pemilih sebaik bertukar status kepada orang awam.
   
Katanya kerajaan menghargai perjuangan bekas tentera dengan pemberian pelbagai imbuhan dan insentif, justeru bekas tentera perlu menjaga imej negara demi kesinambungan perjuangan mereka.

"Tentera ini tunggu arahan. Jadi saya saran wakil rakyat supaya ajak bekas tentera minum, bersembang mengenai politik kerana bekas tentera ini masih tanamkan budaya disiplin yang kuat.
   
"Orang politik kena damping mereka supaya bersama-sama memberi sokongan agar perjuangan bekas tentera dihargai dan tidak disisihkan.
   
"Ramai bekas tentera masuk politik, jadi ahli politik, jadi ahli parlimen termasuk anak bekas tentera pun ada. Kita dapat lihat contoh yang ada ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim," katanya.

Isu pembantu rumah warga asing jadi tumpuan Muslimat Pas

KOTA BAHARU - Isu pembantu rumah warga asing menjadi tumpuan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Pusat Kali Ke-52 di sini, hari ini apabila usul itu dibahaskan pada muktamar kali ini.

Usul mengenai perkara itu dibawa perwakilan Indera Mahkota, Zuriati Muhammad yang mencadangkan langkah wajar diambil bagi mengurangkan pergantungan pembantu rumah warga asing.

"Rekod menunjukkan kira-kira 200,000 pembantu rumah warga asing di negara kita yang sebahagiannya warga Indonesia.

"Mengapa perlu menggaji orang luar. Pekerjaan ini jangan dianggap kelas terendah dan sudah sampai masanya kita mengambil pekerja tempatan," katanya ketika membawa usul sosial mengenai pembantu rumah itu.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan kerjaya pembantu rumah sebagai pekerjaan menarik dengan menawarkan gaji berpatutan termasuk diberikan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, perwakilan Bahagian Batu, Salbiah Abdul Wahab ketika membahaskan isu itu mencadangkan kerajaan mewujudkan institusi melahirkan tenaga kerja dalam bidang itu.

"Saya juga mencadangkan agar ada juga kolej-kolej yang turut menawarkan kursus pembantu rumah ini," katanya.

Tengku Razaleigh: Masyarakat Orang Asli tetap setia dengan BN


Lebuh raya rakyat: Ku Li nasihat Kelantan bincang Pusat
Tengku Razaleigh Hamzah
GUA MUSANG - Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memuji sikap masyarakat Orang Asli yang terus setia menyokong Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Katanya, ini menunjukkan mereka bersatu dalam membuat keputusan yang berkaitan masa depan mereka dan yakin dengan kemampuan kerajaan BN melaksanakan segala kemudahan sebagaimana dinikmati mereka.

"Kita berharap Orang Asli akan terus menyokong BN terutama bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan kepada penduduk Orang Asli di Pos Brooke, di sini hari ini.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Daerah Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah, Azman Ngadiron.

Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak mudah terpengaruh dengan kunjungan orang luar yang datang menabur janji kerana kunjungan mereka boleh membawa perpecahan.
 
Beliau berkata mereka harus berpegang kepada kekuatan perpaduan yang sedia ada kerana kerajaan tidak pernah lupa jasa mereka yang menyokong perjuangan BN sehingga berupaya menang setiap kali PRU.

"Orang luar yang datang mungkin ada membawa maksud lain, tetapi saya percaya Orang Asli mempunyai pendirian dengan menilai sebaik-baiknya sebelum menerima janji mereka," katanya.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan pelbagai kemudahan di kawasan penempatan Orang Asli selain menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi meringankan beban mereka.

"Tengoklah pemberian wang bantuan hari ini sebagai menunaikan janji saya dan penghargaan kepada  Orang Asli yang terus bersama saya pada setiap kali pilihan raya," katanya.

Jangan jadikan agama senjata politik, kata Dr Asri


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sempena sambutan Maal Hijrah,  ahli-ahli politik dinasihatkan tidak menjadikan agama sebagai senjata politik sebaliknya boleh menggunakan agama sebagai hujah dalam panduan politik.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pemimpin politik wajar mencuba untuk menjadikan gerakan politik selaras dengan nas-nas agama dan tidak menjadikan agama yang dinilai berdasarkan politik kepartian.

 “Agama mesti merentasi parti berdasarkan fakta dan hujah.

“Ahli politik mesti kembali kepada dasar, jika tidak, agama akan hanya dibicarakan di pentas untuk agenda politik,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan sekarang di mana terdapat pemimpin politik menjadikan isu agama ketika berpolitik, Dr Asri menjawab, “adalah penting untuk menjadikan agama sebagai asas perjuangan tetapi jangan sesekali menggunakan agama untuk meraih undi."

Beliau menambah, ahli politik tidak boleh menjadikan agama secara selektif.

“Yang mana beri menguntungkan, kita ambil… yang mana merugikan, kita tinggalkan,” jelas beliau lagi.

Malaysia dukacita, kecam kes rogol warga Indonesia


ANIFAH AMAN
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia amat dukacita dengan satu lagi kes perkosa membabitkan wanita Indonesia yang dilapor berlaku di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Wanita berkenaan itu juga difahamkan telah diikat dan tidak diberi makan selama empat hari. 

"Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji ini yang juga merupakan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan," kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu,  Kementerian Luar akan mengikuti perkembangan kes tersebut dengan Polis Diraja Malaysia serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Indonesia.

Mangsa dilapor bekerja sebagai pembantu rumah dan majikannya kini ditahan reman selama tujuh hari sejak 13 Nov lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol.

Media sebelum ini melaporkan tiga anggota polis ditahan reman selepas didakwa merogol seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu restoran di Pulau Pinang.

Ketua Ulama Pas: Harussani juga perlu bertaubat


Harun Taib
Harun Taib
KOTA BHARU - Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib meminta Mufti Perak,  Tan Sri Harussani  Zakaria  turut bertaubat kerana didakwa  tidak menyokong perjuangan Islam.

Kenyataan Harun itu dibuat ketika mengulas komen Harussani yang meminta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan tidak selari mengenai kebebasan agama.

"Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar... Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di sini, hari ini.

Sambil mengelak pertanyaan berkaitan Nurul Izzah, Harun tetap mempertahankan kenyataan pemimpin PKR itu yang disifatkan “biasa sahaja."

"Pada asalnya, apabila belum masuk Islam, dia bebas memilih Islam atau tidak.  Tapi, yang tidak bebas (apabila) sudah masuk Islam, tidak boleh sekali Islam, sekali Kristian. Itu tidak adil," katanya.

“Kita tidak ambil berat, kita anggap biasa sahaja, saya tidak mahu bicara soal ini, tanya benda lain seperti (bekas Perdana Menteri, Tun Dr) Mahathir (Mohamad) buat, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) buat,” katanya.

Get widget