KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
membantah sekeras-kerasnya penayangan filem ‘My Name Is Khan’ di TV3
pada Hari Raya Aidil Adha yang kedua.
Naib Presiden Abim, Ahmad Saparudin Yusup berkata, filem yang membawa
mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah
stesen televisyen utama Malaysia.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau mengenai perkara itu.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya
penayangan filem ‘My Name Is Khan’ di TV3 pada Hari Raya Aidil Adha yang
kedua. Filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar
ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.
Watak
utamanya dibawa oleh Shah Rukh Khan (Datuk) jelas menjengkelkan. Aksi
beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis
skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.
Sebagai
contoh, adegan hero yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang
beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan
mencampur aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama
adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam.
Selain dari
itu memberi zakat kepada mereka yang tidak beragama Islam juga adalah
mengelirukan. Zakat hanya dibenarkan untuk asnaf yang tertentu dan tidak
boleh diberikan sesuka hati.
Penerbit filem ini jelas cuba
menjawab persoalan ‘Islamophobia’ yang melanda Barat, tanpa memahami
ajaran Islam dengan mendalam serta menghayati pokok pangkal permasalahan
ini mengheret wajah Islam ke dalam kancah yang memalukan. Ia secara
jelas membawa mesej ‘Islam Liberal’.
Faham Islam Liberal ini
pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan
mengenepikan pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang
cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran
Islam itu sendiri.
Selain dari faham Islam Liberal itu,
menyamakan kebaikan di sisi Islam dan agama lain adalah satu daripada
teras aliran ‘pluralisme agama’. Mesej ini juga terkandung dalam filem
ini.
Segala faham ini perlu diperhatikan secara dekat kerana ia
boleh memesongkan fikiran umat Islam dan juga bukan islam dalam
memahami ajaran Islam yang sewajarnya.
Faktor penayangan yang dibuat tatkala umat Islam menyambut hari Idil
Adha juga menimbulkan persoalan ke mana hilangnya keprihatinan dan
tanggungjawab pihak media dalam bahan siaran mereka.
Oleh itu
Abim mendesak agar penayangan filem ini dihentikan pada masa akan
datang. Abim juga mengingatkan kepada stesyen penyiaran di negara ini
agar lebih peka dan sensetif terhadap bahan kandungan dan masa penyiaran
bagi mengelakkan kontroversi di dalam masyarakat. Abim juga menggesa
agar pengedaran CD filem ini dihalang serta merta.
No comments:
Post a Comment