Menjelang detik tersebut, sama ada sedar atau tidak, bukan sedikit
kata-kata ‘sumbang’ pengkritik bola sepak tempatan yang terpaksa ditelan
pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal sebenarnya.
Lumrah dalam bola sepak, ketika menang dipuja dan begitu jua sebaliknya.
Segala-galanya dikatakan bermula apabila Harimau Malaya ditunjukkan
jalan keluar oleh seteru utama, Singapura di pusingan kedua kelayakan
Piala Dunia 2014 pada tanggal 28 Julai 2011.
Sejak itu, segala-gala yang cuba diterjemahkan Rajagobal dilihat ada sahaja yang tidak kena dari kaca mata pengkritik.
Barangkali, jasa Rajagobal membantu skuad kebangsaan muncul juara
Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun sebelum itu
seolah-olah tidak membawa sebarang makna.
Sedangkan kejayaan muncul pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara
sebenarnya merupakan detik kebangkitan skuad kebangsaan yang mengalami
musim suram beberapa tahun kebelakangan ini.
Mungkin, kejayaan tersebut dilihat hadir terlalu awal buat jurulatih
kelahiran Selangor itu sehingga langsung tidak diberikan peluang untuk
‘berkarya’.
RESIPI SANG JUARA
SEDAR mempertahankan sesuatu kejuaraan lebih sukar berbanding muncul
juara buat kali pertama, Rajagobal percaya hanya kejayaan kali ini
sahaja mampu menutup mulut pengkritik yang tidak sudah-sudah ‘berbunyi’
di luar padang.
Setakat ini, hanya Thailand dan Singapura sahaja yang berjaya
mempertahankan kejuaraan sejak piala tersebut diperkenalkan pada 1996
(dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger).
Selain edisi 2010, Malaysia hanya sekali melangkah ke pentas final 1996 sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.
“Sebelum kami muncul juara Piala AFF Suzuki edisi 2010, tidak ada
seorang pun yang tampil berkongsi resipi kejayaan dengan saya. Situasi
itu jelas berubah sekarang.
“Berikan anak-anak buah saya membuktikan kehebatan terlebih dahulu,
bila kejohanan itu sudah tamat nanti lainlah cerita,” kata Rajagobal
sebelum ini.
Menurut beliau, persediaan kali ini juga berjalan lebih baik
berbanding dua tahun lepas biarpun dihantui siri kecederaan beberapa
pemain utama sehingga menyukarkan Rajagobal mencongak barisan terbaik
kali ini.
“Tidak ada mana-mana jurulatih di dunia yang mahukan pasukan masing-masing tewas sebelum berjuang.
“Jadi, berikan kami sokongan dan bukannya hanya tahu menghentam yang bukan-bukan,” pinta Rajagobal mohon dimengertikan.
RANKING TIDAK PENTING
DALAM pada itu, kemerosotan Harimau Malaya yang semakin jauh
terperosok dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga
mengundang kecaman ramai pihak.
Berdasarkan ranking terkini FIFA pada 3 Oktober lalu, skuad
kebangsaan sekadar menduduki tangga ke-162 dunia dan ia merupakan
ranking terburuk Harimau Malaya pada tahun ini.
Situasi tersebut mungkin disebabkan Harimau Malaya sukar mendapat
lawan yang berkualiti bagi mengadakan perlawanan persahabatan di
peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, prestasi tidak konsisten skuad kebangsaan dalam siri
persahabatan antarabangsa tahun ini juga jelas menimbulkan persoalan.
Untuk rekod, Malaysia sekadar seri 1-1 dan 0-0 dengan Filipina pada 29 Februari dan 1 Jun lalu.
Mereka kemudiannya seri 2-2 dan menang 2-0 ke atas Singapura (8 Jun
dan 12 Jun) sebelum tewas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam pada
11 September lalu.
Harimau Malaya hanya kembali melakar kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong
pada 16 Oktober lalu dan bakal diuji Thailand, Vietnam dan Hong Kong
sekali lagi sebelum sepak mula AFF Suzuki.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, momentum dan pengalaman
berharga yang diraih pemain sebenarnya jauh lebih penting daripada
kedudukan ranking.
“Tidak ada gunanya kita hanya mahu mengejar kedudukan ranking yang
lebih baik tetapi gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki,” kata
Rajagobal.
RAJAGOBAL, KIM SWEE BERSENGKETA?
ANGIN tiada ribut pun tiada, Rajagobal tiba-tiba dikatakan ‘bersengketa’ dengan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee.
Segala-galanya bermula ekoran keputusan Rajagobal menyenaraikan lima
pemain muda negara bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong biarpun
mereka diperlukan Kim Swee menempuh kejohanan piala jemputan Newspaper
Cup di Vietnam.
Lima pemain yang tersebut adalah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan,
Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat (Harimau
Muda A) serta Zubir Azmi (Terengganu).
Enggan isu itu disensasikan mana-mana pihak, Rajagobal pada satu
sidang akhbar di Wisma FAM, 4 Oktober lalu tampil memberikan penjelasan.
“Peluang menyarung jersi kebangsaan sepatutnya lebih menjadi
keutamaan, ia bagi menjamin persiapan terbaik kami mempertahankan Piala
AFF.
“Jadi, cukup-cukuplah mensensasikan isu ini,” katanya.
Kontroversi yang menyelubungi Harimau Malaya juga tidak terhenti di
situ apabila penyerang berbisa. Mohd. Safee Sali dikatakan tidak dapat
menyarung jersi kebangsaan gara-gara masalah kelabnya, Pelita Jaya yang
dikhabarkan 'disenaraihitamkan' Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (
FIFA) baru-baru ini.
MENGIMBAU PERJALANAN
PIALA AFF SUZUKI 2010
MENGIMBAU semula perjalanan Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki
2010, ranjau yang terpaksa ditempuh skuad kendalian Rajagobal
sememangnya cukup berliku.
Sekadar muncul naib juara Kumpulan A dengan empat mata selepas
dibelasah Indonesia (1-5), seri tanpa jaringan dengan Thailand sebelum
kembali bangkit membelasah Laos dengan keputusan 5-1, mereka tidak lagi
menoleh ke belakang sebaik menjejakkan kaki di pentas separuh akhir.
Ketika itu, dua gol ledakan Safee di Stadium Nasional, Bukit Jalil
tanggal 15 Disember 2010 sudah cukup untuk mengesahkan slot ke final
sekali gus mengatasi juara bertahan, Vietnam biarpun melakar keputusan
seri tanpa jaringan di Hanoi tiga hari kemudian.
Kembali berdepan Indonesia di pentas final, gegak gempita Stadium
Gelora Bung Karno akhirnya ‘lenyap’ apabila Safee sekali lagi berjaya
merobek gawang Garuda pada 29 Disember 2010.
Harimau Malaya tewas 1-2 ketika itu, namun ia sudah cukup bagi
menobat Malaysia selaku juara buat kali pertama selepas menang menerusi
agregat 5-1 gara-gara terlebih dahulu melakar kemenangan selesa 3-0 di
Bukit Jalil tiga hari sebelum itu.
Pada edisi kali ini, Harimau Malaya kembali diundi bersama Indonesia, Laos dan juara tiga kali, Singapura dalam Kumpulan B.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November
ini diikuti Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan
bertemu Indonesia pada 1 Disember depan.
Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama Piala AFF
Suzuki 2012 dengan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama juara
edisi 2008 iaitu Vietnam selain Filipina dan juga Myanmar.
Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok,
Thailand sementara aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Kuala Lumpur dari 24 November hingga 22 Disember depan.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir
dan format perlawanan adalah bermain di tempat sendiri dan lawan dari 8
hingga 13 Disember manakala perlawanan akhir yang turut menggunakan
format sama dari 19 hingga 22 Disember.
Sama ada Harimau Malaya mampu mempertahankan kejuaraan kali ini, biarlah masa yang menentukan segala-galanya.