KUALA LUMPUR - Golongan wanita muda di negara ini perlu meneruskan
perjuangan memartabatkan golongan wanita dan berani menceburi bidang
kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, aeroangkasa dan
nano-teknologi.
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata sebagai
golongan pelapis mereka harus terus relevan dalam arus pembangunan dan
sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri.
"Barulah nanti saudari-saudari mampu berdiri sama tinggi dengan
golongan lelaki apabila setiap yang ada di hadapan saya ini merupakan
wanita muda profesional.
"Saya harap saudari-saudari tidak mudah putus asa kerana bukan senang
untuk berjaya di mana kita perlu komited serta fokus," katanya pada
Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
sini hari ini.
Rosmah selaku penaung himpunan itu turut memuji sikap keterbukaan
golongan wanita yang dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dan
mampu membantu golongan itu untuk memainkan peranan membangunkan
negara.
"Sikap ini sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang
mampu membangunkan negara dengan penuh komited dengan dipayungi
perpaduan antara rakyatnya," katanya.
Beliau menasihatkan golongan wanita khususnya wanita muda supaya
menanamkan semangat juang yang tinggi dengan berusaha bersama-sama untuk
meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik, progresif serta
berdaya saing.
"Kita jangan lemah dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan kita...
bahkan saya sendiri selalu mendengar cerita kurang manis tentang diri
saya sendiri.. tetapi ia langsung tidak menjejaskan saya kerana saya
perlu meneruskan kehidupan demi suami saya, anak-anak saya, negara saya,
Barisan Nasional dan juga wanita muda," katanya.
Justeru itu, Rosmah mahu golongan wanita keluar daripada kerangka
Malaysia dengan menerokai sesuatu bidang hingga ke peringkat global dan
meletakkan penanda aras supaya pencapaian setaraf dengan wanita di
negara maju.
"Justeru majlis seumpama ini merupakan satu platform amat baik dan
relevan kepada golongan wanita bagi mendapatkan pendedahan mengenai
pelbagai bidang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping
meningkatkan jaringan atau 'network'," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin berkata himpunan itu berjaya membuka minda golongan wanita muda
dengan membantu menganjakkan paradigma golongan tersebut dalam
mencorakkan pembangunan negara.
"Wanita muda sebagai aset negara yang tidak ternilai ini perlu
dibimbing bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa utuh dan teguh,"
katanya.
Menurut Rosnah, himpunan yang berteraskan kepada empat moto utama iaitu
Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi (IDEA) itu mampu menjadi
pemangkin bagi melonjakkan semangat serta tekad wanita muda di negara
ini.
"Moto ini apabila digabungkan akan membentuk satu idea selari dengan
keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat serta potensi sebenar
mereka," katanya.
Himpunan tersebut turut mengiktiraf pencapaian wanita muda yang
cemerlang melalui penganugerahan beberapa anugerah antaranya Cabaran
Pidato Wanita Muda, Cabaran Rancangan Perniagaan Wanita Muda dan Cabaran
Penyelidikan Gender.
Nur Farhanis Mohd Sukri, 24, johan kategori Cabaran Penyelidikan Gender
berkata beliau amat berbesar hati apabila dipilih sebagai johan bagi
kategori tersebut dan akan terus berusaha memartabatkan golongan wanita
muda.
Mahasiswi jurusan Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara itu
menjalankan tesis mengenai status kualiti hidup wanita sebagai pembuat
keputusan dalam membantu mencapai status kualiti hidup yang lebih baik.
Himpunan yang mengumpulkan kira-kira 10,000 wanita muda daripada
pelbagai latar belakang itu merupakan satu permulaan ke arah
mensinergikan keupayaan wanita muda ke tahap yang lebih baik.