Aset-aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), akan
dipindah milik kepada anak syarikat milik penuhnya, Private Real Estate
Company (PREC), bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan pengurusan aset
supaya lebih berkesan.
PKNS dalam satu kenyataan hari ini
menyatakan aset-aset komersil itu ialah Kompleks PKNS, Shah Alam;
Kompleks PKNS, Bangi; SACC Mall, Shah Alam; Wisma Yakin, Kuala Lumpur
dan Menara PKNS, Petaling Jaya.
"Salah satu inisiatif korporat
yang dilaksanakan oleh PKNS ialah menerusi pelaburan dan pengurusan
hartanah secara lebih efektif dan efisyen.
"Sejak tahun 2008,
sebanyak 82 peratus daripada para peniaga yang menyewa ruang niaga di
aset-aset milik PKNS terdiri daripada usahawan Melayu dan Bumiputera,"
kata PKNS.
Ia berkata kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di
dalam bangunan seperti tandas, eskalator, lif, papan tanda, tempat letak
kereta dan lain-lain yang telah dijalankan sejak Oktober 2011, dijangka
siap pada Mac 2013.
PREC akan menaik taraf bangunan secara berterusan bagi meningkatkan nilai aset-aset tersebut.
Kiosk-kiosk perniagaan baharu juga akan turut diwujudkan untuk disewakan kepada peniaga Melayu dan Bumiputera, khususnya.
PREC
dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS juga akan menambah
ruang-ruang tapak niaga di aset-aset ini bagi usahawan Melayu dan
Bumiputera menjual produk keluaran masing-masing.
Sejak tahun 2008, lebih daripada 6,000 usahawan Bumiputera memperoleh manfaat menerusi program pembangunan usahawan PKNS.
No comments:
Post a Comment