SHAH ALAM - Pemuda Pas menasihatkan kepimpinan parti itu harus bangga
untuk menerima persekitaran semasa bahawa pihaknya sudah ada "pengkritik
tetap secara sukarela" dan perlu bijak dalam menilai setiap kritikan
agar ia membawa manfaat kepada mereka.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kepimpinnan Pas seharusnya bangga
kerana keadaan sudah berubah berbanding keadaan sebelum ini.
Katanya, pada masa lalu, parti itu tidak diberi perhatian, sebaliknya
kini mendapat fokus sehingga ada yang sanggup memberi kritikan secara
sukarela.
"Apa yang membanggakan saya ialah kini Pas telah mempunyai pengkritik
tetap secara sukarela yang terdiri dari pelbagai pihak. Ini satu
perkembangan positif.
"Tinggal lagi pimpinan Pas harus bijak dalam menilai setiap kritikan
yang diterima agar ia menguntung dan membangunkan parti untuk terus
mendokong cita-cita perjuangan Islam," kata beliau dalam blognya di
bawah tajuk "Kritik, mengkritik dan dikritik".
Beliau tidak merujuk kepada mana-mana kes terbaru secara langsung.
Bagaimanapun ia dilihat merujuk kepada pandangan bekas Mufti Perlis,
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang baru-baru ini berkata,
kepimpinan Pas tidak harus menjadi seperti pimpinan Ayatollah Iran jika
diberi mandat menerajui Putrajaya kelak.
Sementara naib-naib presiden Pas 'menyambut baik' pandangan Asri, Dewan
Ulama parti itu berkata, bekas Mufti Perlis tidak wajar menggambarkan
kepimpinan ulama Pas dengan Ayatollah Iran.
Dalam reaksinya, Nasrudin berkata, beliau menghargai semua kerana yakin
bahawa Pas akan berjaya memerintah negara kelak berbanding dulu, di
mana hampir tidak ada orang luar nak bincang pasal Pas.
"Dan, memang sukar nak cari orang luar yang mahu bantu Pas berjuang
menghadapi kuasa "besar" Umno dan BN yang penuh dgn korupsi.
Sebahagiannya selesa dikerusi empuk dan bilik berhawa dingin dengan
jawatan yang selesa pula," katanya.
Bagaimanapun beliau menekankan bahawa budaya tidak boleh ditegur tidak berlaku dalam Pas.
"Jika seorang dua dikesan begitu, maka itu kes terpencil dan dia bukan budaya dalam Pas.
"Kepimpinan Pas ialah kepimpinan yang berteraskan Islam sesuai dengan
Islam sebagai asas perjuangan Pas," katanya sambil menambah bahawa "Pas
dan kepimpinannya senantiasa terbuka dan berlapang dada dalam menerima
pandangan dan kritikan."
"Justeru itu akhlak Islami yang salayaknya dimiliki oleh setiap pemimpin dan individu muslim.
"Kita mengalu-alukan teguran dan kritikan yang membina dari semua
pihak. Kita senantiasa responsif, namun tidak semestinya seratus peratus
teguran atau kritikan yang kita terima perlu dipakai.
"Sebaliknya teguran atau kritikan yang diterima itu akan
dipertimbangkan dan disorot dengan penuh cermat serta mengambil kira
semua aspek sebelum sesuatu keputusan diambil," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment