Tuesday 13 November 2012

Hoki Piala Sultan Johor: Malaysia tewas 5-2

MALAYSIA gagal mengekalkan momentum memburu kemenangan kedua berturut-turut apabila tumpas 5-2 kepada New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam tadi.

Faktor keletihan menjadi punca skuad bimbingan Mohd Dharma Raj Abdullah gagal menandingi rentak pasukan New Zealand yang melancarkan serangan bertali arus untuk mencapai kemenangan mudah.

Perlawanan yang bermula lewat sejam berikutan hujan menyaksikan pasukan New Zealand menguasai perlawanan dan terus membolosi benteng pertahanan negara pada babak kedua perlawanan.

New Zealand berjaya menghasilkan gol pembukaan menerusi Ben Radovonich pada minit ke-17 sebelum Malaysia, selaku juara bertahan, menyamakan kedudukan melalui strok yang disempurnakan oleh kapten Muhammad Noor Faeez Ibrahim.

Sorakan lebih 7,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu bagaikan meniup semangat kepada pasukan negara untuk menambah jaringan dan dua minit Muhammad Noor Faeez menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, New Zealand mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng pertahanan negara untuk menyamakan kedudukan menerusi Parker Brennan Alexander pada minit ke-30.

Tidak cukup dengan itu pasukan negara yang dilihat agak keletihan sekali lagi dikejutkan oleh jaringan Radovonich pada minit ke-32.

Selepas berehat separuh masa pertama, harapan penonton untuk melihat kebangkitan pasukan negara tidak kesampaian apabila gawang negara terus digegarkan oleh jaringan Kane Russel pada minit ke-46 dan Michael Ritchie minit ke-52.

Beberapa pukulan sudut penalti yang diperoleh pasukan negara dalam separuh masa kedua gagal dimanfaatkan untuk mengejar pasukan Kiwi.

Sementara itu, Muhammad Dharma Raj memberikan alasan bahawa anak buahnya terlalu keletihan selepas berhempas pulas mengalahkan Jerman 3-2 pada perlawanan pembukaan semalam.

Sebelum itu dalam perlawanan lain, naib juara tahun lepas, Australia mengalahkan Pakistan 5-1 manakala India mencapai kejayaan kedua apabila menundukkan Jerman 3-1.

Hari ini, kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu berhenti rehat sempena sambutan Hari Deepavali.

Esok, Jerman akan menentang New Zealand (4.05 petang), Malaysia bertemu Australia (6.05 pertang) dan India menentang Pakistan pada pukul 8.05 malam.

No comments:

Post a Comment

Get widget