Sunday 25 November 2012

Pakatan mahu PM bentang kertas putih NFC

nfc
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM  - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  menyediakan kertas putih skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang didakwa melibatkan dana awam berjumlah RM250 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Perdana Menteri sepatutnya mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang telah membentangkan kertas putih pelunasan hutang Syarikat
Talam Corporation Bhd (Talam) kepada Kerajaan Negeri yang berjumlah RM392 juta dalam Sidang Dun baru- baru ini.

“Dalam kertas putih tersebut, kita telah berjaya membuktikan dakwaan Kerajaan Negeri ‘bailout’ hutang Talam dan berlaku penyelewengan adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Kejayaan kita membentangkan kertas putih ini telah membuktikan pentadbiran PR bersikap telus, jujur dan tidak menyembunyikan sebarang urus niaga yang melibatkan harta milik rakyat yang bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama enam Ahli Parlimen PR iaitu Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Abdul Khalid berkata, kertas putih skandal NFC tersebut perlu disertakan dengan laporan audit oleh firma antarabangsa, PriceWaterhouse Coopers dan dibentangkan kepada semua Ahli Parlimen serta diedarkan kepada media dan orang awam, sama seperti yang dilakukan kerajaan Selangor.

“Kita mahu kerajaan Persekutuan menerangkan kepada rakyat  bagaimana  dana milik rakyat ini telah dibelanjakan dan membentangkan semua perbelanjaan, pihak yang membelanjakan dan aset-aset yang dibeli untuk disemak oleh rakyat.

“Kita mendapati terdapat ahli politik Barisan Nasional (BN) terlalu lantang mengkritik usaha Kerajaan Selangor mengutip hutang lapuk Talam tetapi ‘menikus’ dalam isu skandal NFC sedangkan sudah terbukti berlaku penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya.

Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri gagal menyediakan kertas putih tersebut, maka terbukti BN tidak jujur menguruskan harta rakyat dan tiada alasan lagi untuk rakyat terus menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Selasa lalu, Abdul Khalid mendedahkan kertas putih kutipan hutang lapuk Talam membabitkan laporan penuh KGMG serta dokumen berkaitan dalam simpanan Pejabat Dewan Negeri Selangor boleh disemak oleh orang awam tertakluk kepada prosedur di bawah Akta kebebasan Maklumat pada sidang media di Sidang Dun.

Laporan kertas putih Talam boleh dimuat turun di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan Media Selangorku.

No comments:

Post a Comment

Get widget