Thursday 15 November 2012

PBTM: 30 peratus bekas tentera belum daftar sebagai pengundi

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 peratus bekas tentera dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.
   
Beliau berkata ketika ini terdapat 350,000 bekas tentera sama ada yang berpencen atau tidak di seluruh negara dan seharusnya mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi segera berbuat demikian.
   
"Ini kerana apabila seseorang anggota tentera itu berhenti, mereka tidak boleh lagi mengundi dalam kem," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Beliau berkata Kementerian Pertahanan sewajarnya memainkan peranan mengingatkan bekas tentera agar mendaftar sebagai pemilih sebaik bertukar status kepada orang awam.
   
Katanya kerajaan menghargai perjuangan bekas tentera dengan pemberian pelbagai imbuhan dan insentif, justeru bekas tentera perlu menjaga imej negara demi kesinambungan perjuangan mereka.

"Tentera ini tunggu arahan. Jadi saya saran wakil rakyat supaya ajak bekas tentera minum, bersembang mengenai politik kerana bekas tentera ini masih tanamkan budaya disiplin yang kuat.
   
"Orang politik kena damping mereka supaya bersama-sama memberi sokongan agar perjuangan bekas tentera dihargai dan tidak disisihkan.
   
"Ramai bekas tentera masuk politik, jadi ahli politik, jadi ahli parlimen termasuk anak bekas tentera pun ada. Kita dapat lihat contoh yang ada ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim," katanya.

No comments:

Post a Comment

Get widget