Sunday 11 November 2012

PENDAFTARAN ONLINE UNTUK PEKERJA

 Jawatankuasa Tindakan Pemberhentian Pekerja di Selangor akan menyediakan satu perkhidmatan pendaftaran online bagi pekerja-pekerja yang telah diberhentikan bagi memudahkan Kerajaan Negeri Selangor menyalurkan bantuan yang sesuai.

Jawatankuasa yang dipengerusi oleh Dato’ Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah mendapatkan perkhidmatan Syarikat Mesin Niaga sebagai “technology provider” dengan menggunakan sistem perisian IBM dalam pengumpulan data dan maklumat pekerja .

Perkhidmatan online ini akan melengkapkan perkhidmatan pendaftaran manual yang akan bermula di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi. Dua PBT, akan dipanggil menghadiri mensyuarat minggu hadapan bagi mengenalpasti langkah-langkah yang telah dibuat bagi merealisasikan proses pengumpulan data yang akan diusahakan bersama Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat Selangor.

Dalam mesyuarat tersebut, syarikat agensi pekerjaan JobStreet juga telah memberi taklimat mengenai aktiviti dan usaha-usahanya untuk menolong pekerja yang telah diberhentikan di mana jawatankuasa akan menimbang semua cadangan yang telah dibentangkan. Sementara itu, jawatankuasa ini menyeru kepada pekerja yang diberhentikan untuk menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan oleh syarikat itu melalui http://my.jobstreet.com/retrench-helpline/.

Mesyuarat ini juga telah mendengar taklimat dari anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor State Investment Centre (SSIC) yang telah memaklumkan bahawa dalam bulan Januari 2009, seramai 451 pekerja telah menerima tawaran pemberhentian sukarela (voluntary separation scheme atau VSS) manakalan 2,205 telah diberhentikan buat sementara sehingga ekonomi pulih semula. SSIC juga telah memaklum bahawa pihak majikan telah menyatakan harapan mereka agar Kerajaan Negeri Selangor dapat mengatur pertemuan dengan Kerajaan Pusat bagi mengurangkan tarif elektrik dan cukai-cukai tertentu bagi mengurangkan beban kewangan dan sekaligus membolehkan lebih peruntukan disalurkan kepada pekerja-pekerja.

Pihak polis telah memberi taklimat bahawa peningkatan pemberhentian pekerja tidak lagi memberi kesan terhadap kadar jenayah di Selangor. Walaubagaimanapun, pihak polis sedang memantau aktiviti pekerja asing yang telah diberhentikan dan meminta pertolongan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan maklumat perkerja asing yang telah diberhentikan.

Jawatankuasa akan memanggil pihak Imigresen dan persatuan pengambilan pekerja asing untuk mendapat pandangan mereka tentang isu ini pada mesyuarat ketiga minggu hadapan. SSIC akan turut terlibat dalam mengumpulkan segala data-data dari semua syarikat berkaitan pekerja asing bagi tujuan rekod berkaitan jumlah pekerja asing di Selangor.

Jawatankuasa juga telah berbincang beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh Kesatuan Kongres Pekerja Malaysia (MTUC) berkaitan soal penindasan pekerja berhubung tindakan pemberhentian pekerja tempatan dimana sesetengah majikan dikatakan telah memberi keutamaan kepada pekerja asing. Wakil-wakil MTUC juga ada menzahirkan rasa kekecewaan dimana kesan kemerosotan ekonomi hanya dirasai oleh pekerja peringkat bawahan sedangkan pendapatan mereka diperingkat eksekutif berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, pihak FMM (Federation of Manufacturers, Malaysia) yang turut hadir telah memberi jaminan bahawa arahan bagi ahli-ahli FMM adalah untuk mengutamakan pekerja tempatan. FMM juga menerangkan potongan gaji juga telah dibuat kepada pekerja diperingkat eksekutif.

Jawatankuasa telah dimaklumkan oleh pihak MIDA bahawa terdapat 2 politeknik di Selangor iaitu di Shah Alam dan Sabak Bernam yang ingin menyediakan khidmat latihan bagi mereka yang telah diberhentikan kerja. Sehubungan itu, MIDA telah diarahkan supaya mendapatkan data-data terperinci pekerja-pekerja yang telah diberhentikan ini untuk diserapkan ke khidmat latihan dengan kadar segera.

No comments:

Post a Comment

Get widget