Sunday 4 November 2012

Puluhan ribu hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat walaupun hujan




Walaupun hujan lebat bermula jam 2 petang dan padang becak, ia tidak menghalang kira-kira 30,000 orang hadir dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di padang Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan malam tadi. Padang yang digenangi air dan berlumpur, tidak mematahkan semangat mereka berpayung dan berbaju hujan serta berdiri di tengah padang sewaktu hujan renyai bagi mendengar penjelasan isu-isu semasa daripada pemimpin Pakatan Rakyat. Himpunan anjuran gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu sebagai permulaan sebelum diteruskan di beberapa buah negeri bagi menyokong tuntutan mengadakan pilihan raya bersih dan adil. "Kenapa kita memilih Negeri Sembilan, kerana ia negeri paling awal kita akan berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang. Bila tiba mengundi, jam 7 malam (keputusan diumumkan), Wisma Negeri kita telah tawan," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Wisma Negeri merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri itu yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamad Hassan Kata-kata pemimpin PAS yang mesra dipanggil 'Abang Mat' itu - juga merupakan pengarah program - diiringi tepukan dan sorakan hadirin yang hadir. 'Ayam sabung' PAS itu juga berkata perhimpunan seumpama itu, bakal diteruskan di Stadium Muhammad ke-IV di Kelantan pada 16 November ini sebelum diikuti di beberapa negeri mengikut zon - Pahang, Kedah, Johor dan Perak. Perhimpunan itu juga kemudiannya, akan diteruskan oleh kepimpinan Pakatan di peringkat negeri yang melibatkan antaranya Melaka, Pulau Pinang dan Perlis, tambahnya. Mohamad Sabu berkata acara kemuncak perhimpunan tersebut akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Januari tahun depan dengan sasaran sebanyak sejuta rakyat akan berhimpun di situ. "Perhimpunan seluruh rakyat di Kuala Lumpur di antaranya menyokong tuntutan BERSIH, (dan) tuntutan rakyat (yang akan disertai) tidak kira (penyokong) Hijau (Lynas), Merah (royalti), Oren (Felda), Kuning (BERSIH) atau apa-apa warna sekalipun," katanya. Sebelum itu, ketua pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menyampaikan ucapan yang pada umumnya menyatakan kehadiran puluhan ribuan di situ sebagai indikasi bahawa Pakatan Rakyat mampu menguasai Wisma Negeri pada pilihan raya umum akan datang. Mereka adalah Pesuruhjaya PAS Mohd Taufek Abdul Ghani, Anthony Loke (Ketua DAP Negeri Sembilan) dan Datuk Kamarul Baharin Abbas (ketua pimpinan PKR negeri). Sementara itu, dalam ucapannya, Anthony menegaskan DAP berjanji akan bertungkus-lumus untuk mengalah MCA, Gerakan dan MIC di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum akan datang. "Saya juga mahu tuan-tuan berjanji di mana kerusi PAS atau PKR bertemu Umno, adalah menjadi kewajipan kita untuk habiskan (kalahkan) Umno dan BN. Marilah sama-sama kita jatuhkan BN," katanya yang diirngi tepukan dan sorakan gemuruh hadirin. Beliau sekali lagi menempelak Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang didakwanya "biadap" dengan menghina Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mengulangi janjinya untuk membelanya. "Jika agama Buddha dihina (sekalipun), saya yakin pemimpin PAS juga akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin PKR akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya," katanya yang juga ahli parlimen Lobak. Ketiga-tiga mereka kemudiannya memeterai dengan membaca satu persefahaman untuk mendokong dan menjunjung Undang-undang Tubuh negeri serta Tonggak Nan9 iaitu janji untuk membela rakyat termasuk Orang Asal jika diberi kepercayaan mentadbir negeri itu. Selepas itu, Sasterawan Negara dan Pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said kemudiannya, mendeklamasikan puisi bertajuk 'Pelamin Kuasa' yang mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

No comments:

Post a Comment

Get widget