Sunday 11 November 2012

Rahman Dahlan: Ramai lagi layak jadi KM Sabah


Datuk Abdul Rahman Dahlan
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan masih "jauh" perjalanan politik beliau untuk dicalonkan  sebagai Ketua Menteri Sabah meskipun sudah wujud desas-desus akan ada perubahan kepimpinan negeri itu.

"Jauh... jauh.. janganlah sampai kita ke sana. Biarlah kita merentasi jambatan itu apabila kita sampai ke sana.

"Saya rasa soalan itu soalan yang subjektif dan saya rasa kalau dari segi kemampuan, ramai lagi (yang mampu)," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online.

Abdul Rahman antara pemimpin muda Sabah yang dilihat lantang bersuara dan menyerlah dalam memperjuangkan isu rakyat.

Setiausaha Umno Sabah ini menang pada pilihan raya umum lalu dengan menewaskan calon dari PKR di kawasan Kota Belud.

Abdul Rahman ketika diminta mengulas lanjut berkata, "saya ingin dimasukkan dalam rekod, saya menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Musa Aman kerana saya juga melihat bagaimana di bawah pentadbiran beliau, beliau telah membawa Sabah, pembangunan di Sabah itu cukup  tinggi dan beliau masih mampu menerajui kerajaan negeri Sabah."

"Sayang kalau kita tidak gunakan pengalaman beliau," katanya lagi.

Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah sejak 2003.

Sebelum berkecimpung dalam arena politik, Musa merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Abdul Rahman yang juga bekas setiausaha politik kepada Musa berkata kerana kecemerlangan kepimpinan ketua menteri itu jugalah menyebabkan beliau sering menjadi sasaran pembangkang.

"Apa yang tidak dituduh kepada Datuk Musa. Sebab apa? Kerana dua kali beliau menerajui pilihan raya, dua kali BN menang dengan begitu cemerlang.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang bekerja siang dan malam. Pagi dan petang, hujung minggu," kata Abdul Rahman.

Musa baru-baru ini dikaitkan dengan kes rasuah yang mengundang pelbagai kontoversi berikutan sumbangan dana politik berjumlah RM40 juta daripada seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.

PKR sebelum ini membangkitkan isu itu dan meminta Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) menyiasat perkara itu kerana dikatakan dana itu diseludup 'secara fizikal' oleh Michael Chia, seorang ahli perniagaan balak.

Ekoran itu, pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz perlu mengeluarkan kenyataan bahawa sumbangan dana politik bukan satu kesalahan malah ia juga dipraktikkan oleh pembangkang. 

No comments:

Post a Comment

Get widget