Umno-BN sedang menggali kuburnya sendiri. Begitulah perkembangan politik
mutakhir ini. Dalam beberapa isu besar yang berlaku akhir-akhirnya,
Umno-BN dilihat lebih banyak bertahan daripada menyerang. Ada beberapa
isu yang dilihat bakal menyusahkan Umno-BN mengekalkan kuasanya pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan tamat tempohnya pada 24 April 2013.
1.
Isu hudud Datuk Seri Chua Soi Lek. Dalam persidangan agung MCA yang
lalu, presidennya Datuk Sri Chua Soi Lek buat kesekian kalinya menyerang
hudud dan kenyataan menghina Islam. Beliau sebelum ini telah beberapa
kali mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Umno dilihat seolah-olah
merestuinya.
Dari sudut politik, MCA mungkin bertujuan menarik
kembali sokongan masyarakat Cina daripada DAP. Pada masa yang sama Umno
berharap akan berlaku pertelingkahan antara PAS dan DAP. Namun, isu ini
bukan sahaja tidak berupaya memecahkan tali persahabatan PAS dan DAP,
malah menjadi senjata makan tuan.
Walaupun isu ini tidak
menjejaskan sokongan penyokong setianya dalam pertarungan politik.
Namun, memberi peluru kepada musuh bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh
Umno.
2. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Isu PTPTN boleh menjadi salah satu pemangkin terkuburnya Umno-BN.
Tawaran Pakatan Rakyat untuk melupuskan hutang PTPTN adalah sesuatu yang
sukar ditolak oleh mahasiswa yang waras dan mengikuti perkembangan
politik serta ekonomi semasa.
Berpuluh ribu graduan sama ada yang
telah bekerja mahupun yang masih menganggur terikat dengan pinjaman
tersebut. Ada yang mampu membayarnya, ada yang tidak mampu dan ada yang
sengaja tidak mahu bayar.
Orang yang berhutang wajib melunaskan
hutangnya, tetapi orang yang memberikan hutang boleh melupuskan hutang
orang yang berhutang. Oleh itu, jika tawaran PR ini menjadi pilihan para
peminjam PTPTN, nyawa Umno-BN bakal berakhir.
3. Gelombang
Sabah. Sabah sebelum ini pernah diwar-warkan Sabah sebagai simpanan
tetap Umno-BN. Namun, perkembangan politik Sabah akhir-akhir ini tidak
boleh dipandang ringan. Pengunduran beberapa tokoh pemimpin Sabah
daripada Umn-BN dan menyertai PR merupakan sesuatu yang amat menarik.
Perkara ini berlaku kerana banyak sebab. Salah satunya, ramai rakyat
Sabah yang sudah mula menyedari bahawa negeri mereka terpinggir daripada
pembangunan fizikal walaupun hasil buminya yang banyak, namun hasil
tersebut tidak sampai kepada mereka. Oleh itu, harapan diletakkan kepada
pemerintah yang baru, jika berjaya menguasai kerajaan pusat.
Hakikatnya,
Sabah pernah beberapa kali bertukar kerajaan antara Usno, Berjaya, PBS
dan Umno. Salah satu kaedah pertukaran kerajaan ialah akibat pemimpin
parti keluar parti dan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru.
“Ini Kalilah”, Sabah bakal melakar satu lagi sejarah dalam politik tanah
air. Pada kali ini, Sabah bukan sahaja mungkin menukar kerajaan
negerinya sekali lagi, bahkan tidak mustahil membantu menukar kerajaan
pusat sekali gus.
4. Isu Felda. Kewujudan Felda merupakan suatu
tapak yang paling baik bagi Umno-BN mengekalkan kuasanya. Hal ini
kerana, Felda berada hampir di seluruh negara. Secara umumnya, peneroka
Felda ialah penyokong tegar Umno-BN. Namun, dengan pelbagai perkembangan
akhir-akhir ini menjadikan Felda bukan lagi simpanan tetap Umno-BN.
Warga
Felda sudah mula bangkit, sudah berani menyaman kerajaan dan menuntut
hak. Apatah lagi sudah ramai generasi keduanya yang berpendidikan tinggi
dan tinggal di luar Felda. Generasi kedua ini menjadi lebih terbuka
pemikirannya kerana banyak bercampur gaul dengan masyarakat luar dan
terdedah dengan pelbagai maklumat.
Apatah lagi dengan isu Felda
Global Ventures (FGV) yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada
jawapan. Semakin lama isu ini berlangsung semakin banyak tembelang
Umno-BN terlondeh dan semakin kurang penyokong Umno-BN.
5. Warga
pendidik. Jumlah warga pendidik hampir 500 ribu. Jumlahnya agak besar
dan mempunyai kesan yang bukan sedikit terhadap keseimbangan politik
negara. Walalupun isu yang membaitkan guru tidak sehebat isu FGV, namun
perlu diingat, mereka merupakan golongan terpelajar. Berbanding warga
Felda, mereka tentunya tidak mudah dibeli dengan sehelai kain batik atau
RM50 atau sejumlah saham.
Oleh itu, sikap tidak prihatin Umno-BN
terhadap beberapa isu pendidikan mungkin membawa padah. Salah satunya
ialah perubahan status sekolah vokasional yang turut mengubah waktu
bekerja daripada waktu biasa kepada waktu baru yang lebih panjang iaitu
dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Bahkan pengenalan sistem
Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bukanlah sesuatu yang membuatkan
warga pendidik menjadi semakin intim dengan Umno-BN. Sudahlah isu PPSMI
sebelum ini masih belum kebah sepenuhnya.
Dengan dasar yang
sering berubah-ubah dan bebanan tugas yang semakin bertambah, saya tidak
fikir Umno-BN semakin popular dalam kalangan guru.
PR menawarkan
imbuhan secara bulanan jika berjaya membentuk kerajaan. Hal ini kerana,
PR amat sedar bahawa golongan ini melakukan pekerjaan yang paling mulia
iaitu menyampaikan ilmu kepada anak bangsanya. Mereka merupakan barisan
paling hadapan dalam menentukan masa depan negara.
6.
Penyelewangan dana awam. Kemuncak kepada penyelewengan dana awam ialah
kes yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik
suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kes ini bukan semata-mata
membabitkan menyalahgunaan dana awam yang banyak, tetapi pendedahan oleh
laporan audit negara adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan dengan
mudah oleh Umno-BN.
Dalam kes ini, Perdana Menteri langsung
tiada hujah untuk mempertahankannya, sehinggakan Datuk Seri Shahrizat
terpaksa diturunkan daripada kerusi senatornya sekaligus jawatan
menteri yang dipangkunya.
Namun, rakyat tidak mudah untuk
melupakan isu ini begitu sahaja. Penyelewangan dana awam sebanyak RM250
juta bukanlah sesuatu yang kecil anak. Banyak perkara yang dapat
dimanfaatkan oleh rakyat jika wang sebanyak berada ditangan pemimpin
yang jujur.
Jika rakyat mahukan duit ini dikembalikan atau isu
ini diselesaikan, mereka tiada pilihan melainkan memberikan kuasa kepada
PR pada PRU13 nanti.
7. Automated Enforcement System (AES).
Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat, malah
turut tidak dipersetujui oleh ahli parlimen dan penyokong Umno-BN
sendiri. Hal ini kerana, sistem ini lebih banyak menyusahkan rakyat
berbanding tujuan asalnya yang dikatakan untuk mendidik pengguna jalan
raya.
Dalam hal ini, pelaksanaan AES dilihat sebagai satu usaha
kerajaan memeras duit rakyat dengan cara yang lebih mudah dan tersusun –
atas nama kesalahan lalu lintas. Dalam hal ini rakyat bakal terbeban
dengan saman dan tiada cara lain untuk menghentikan kegilaan ini
melainkan memenangkan PR dalam PRU13 nanti.
8. Penurunan harga
kenderaan. Sekali imbas isu penurunan harga kenderaan tidak akan
menggugat Umno-BN. Namun dalam senyap isu ini telah menjalar dalam
kalangan rakyat.
Ayat, “Kalau nak beli kereta, tunggu selepas
pilihan raya umum ke-13.” Biasa didengar di mana-mana. Hal ini
menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang kecil. Hal ini
kerana, sudah diketauhi umum bahawa harga kereta di Malaysia amat mahal
berbanding dengan nisbah pendapatan dan kos hidup. Umum juga mengetahui
bahawa cukai yang dikenakan begitu mahal terhadap kereta import demi
menyelamatkan kereta nasional yang mempunyai kepentingan kroni padanya.
Jadi,
tawaran PR bahawa akan menurunkan harga kereta apabila memenangi PRU13
nanti sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh rakyat.
9. Cukai
barangan dan perkhidmatan (Good and Service Tax – GST). Kenaikan cukai
barangan dan perkhidmatan bukanlah sesuatu yang menjadi sebutan umum.
Namun, apabila nilai wang menjadi semakin kecil, dan rakyat pula
terdesak untuk memenuhi keperluan asas yang semakin tinggi nilainya
berbanding pendapatan.
Keperluan asas seperti tanah/rumah,
kenderaan, kos pendidikan, kos makan minum dan kos perubatan semakin
meningkat. Pada masa yang sama rakyat dilaungkan oleh pemimpin supaya
berjimat cermat. Padahal rakyat dengan mata kepala sendiri melihat
pemimipin negara dan konco-konconya hidup dalam suasana yang mewah.
Akhirnya,
rakyat mula berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah
keadaan ini. Pemimpin cakap tidak serupa bikin. Rakyat bersusah payah
membayar cukai tetapi pemimpin senang-senang sahaja membelanjakan dana
awam tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.
Pada masa yang sama
mereka mula membandingkan, negeri-negeri yang diperintah oleh PR
terutamanya Kelantan lebih telus dalam membelanjakan wang rakyat atau
sekurang-kurangnya tidak membebankan dengan pelbagai cukai.
Kesimpulannya.
Selain faktor di atas, banyak lagi kemungkinan yang bakal menamatkan
riwayat Umno-BN. Senarai itu hanyalah sebahagian daripada senarai
panjang kesilapan dan keangkuhan Umno-BN dalam melayan kehendak rakyat.
Jika Umno-BN terus tidak berubah nescaya mereka akan rebah!
Namun,
walaupun Umno-BN dilihat tertekan dengan pelbagai isu, tetapi perlu
diingat, mereka masih menguasai media dan pelbagai agensi kerajaan.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutama apabila PR tersilap strategi
pada saat akhir menjelang pilihan raya.
No comments:
Post a Comment