Seorang pembantu jualan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah 
Sesyen Ampang hari ini selepas didapati bersalah atas cubaan membunuh 
Ketua Pemuda Umno Kepong Datuk Norizan Ali menggunakan sebilah parang, 
tahun lepas.
   
Hakim Manira Mohd Nor membuat keputusan itu 
selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap 
pertuduhan dihadapi Mohd Haswan Hashim, 23, di akhir kes pembelaan.
   
Beliau memerintahkan Mohd Haswan menjalani hukuman itu bermula hari ini.
   
Manira
 turut menolak permohonan peguam Muhamad Zarif Othman yang mewakili Mohd
 Haswan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu. 
Dalam 
penghakimannya, beliau berkata pembelaan tertuduh bersifat penafian 
semata-mata malah wujud percanggahan keterangannya dengan saksi 
pembelaan.
"Saya telah membuat perbandingan sewajarnya antara 
keterangan mangsa dengan tertuduh dan saksi pembelaan kedua (Mohd Azril 
Ab Shukor), dan saya memilih untuk mempercayai mangsa," kata hakim itu.
   
Manira
 berkata tetakan terhadap mangsa secara bertubi-tubi sebanyak lima kali 
cukup menunjukkan niat pelaku yang ingin menyebabkan kematian mangsa.
Beliau berkata mahkamah turut mengambil kira faktor kepentingan awam dan keterangan impak saksi.
   
Mohd
 Haswan dan Mohd Azril, 29, didakwa menyerang Norizan, 41, dengan 
menggunakan parang di bahagian perut, badan dan tangan sehingga boleh 
menyebabkan kematian.
   
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi
 jalan Cahaya 2, Ampang pada pukul 2.30 pagi, 24 Sept 2012, mengikut 
Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun 
dan denda jika sabit kesalahan.
   
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie. 
   
Mohd
 Azril, seorang pengawal kelab sedang menjalani hukuman penjara enam 
tahun selepas mengaku salah terhadap pertuduhan sama pada 8 November 
2012.
   
Sementara itu, Norizan yang hadir ke mahkamah memberi 
keterangan impaks mangsa berkata akibat kejadian itu, beliau mengalami 
gangguan mental dan fizikal sebagai seorang ahli politik.
   
"Saya
 perlu menanggung kesan kejadian itu, luka di bahagian perut masih 
dirasai terutama hanya dapat makan dalam kuantiti yang sedikit," kata 
Norizan.
No comments:
Post a Comment