Malaysiakini meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi supaya menghentikan cubaan untuk menakut-nakutkan wartawan
dari portal berita bebas itu.
Wartawan mempunyai tugas asas untuk
bertanya soalan berkepentingan awam, yang mana para menteri mempunyai
tanggungjawab untuk menjawab, kata pengasas bersama Malaysiakini, Premesh Chandran dan Steven Gan dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Mereka
menyifatkan tingkah laku Zahid (kanan) dalam satu sidang media semalam
sebagai "perilaku yang tidak wajar sebagai seorang menteri".
Menteri dalam negeri membuat kecaman terhadap Malaysiakini yang didakwanya "memutarbelitkan" cakapnya dan mendatangi wartawan Lawrence Yong selepas sidang akhbar tersebut. [Lihat video]
"Jika menteri dalam negeri itu percaya bahawa Malaysiakini telah
salahlapor kenyataannya, beliau sentiasa boleh menghubungi kami untuk
memperbetulkannya," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh dan Ketua
Pengarang Kumpulan, Gan.
"Jika beliau merasakan kami tidak adil
kepadanya, kami sentiasa bersedia untuk bertemu dengannya atau mana-mana
menteri lain untuk berbincang mengenai laporan kami. Setakat ini, kami
tidak menerima sebarang aduan dari beliau atau pejabat beliau."
Pengasas portal Malaysiakini
itu mengingatkan menteri berkenaan bahawa adalah menjadi tugas wartawan
untuk memastikan akauntabiliti mereka yang dipilih untuk memegang
kuasa.
Menurut mereka, memandangkan wujudnya persepsi bahawa
jenayah semakin meningkat dan tidak terkawal, maka menteri dalam negeri
sepatutnya mengambil kira kebimbangan awam dan bertindak balas dengan
sewajarnya.
Ini bukan kali pertama Zahid menuduh Malaysiakini "memutarbelit" berita.
Zahid memberi amaran bahawa beliau memantau "setiap perkataan, setiap ayat, setiap perenggan dan setiap item berita Malaysiakini" semasa sidang akhbar sulungnya sebagai menteri dalam negeri bulan lepas.
Sementara itu, ketua pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar memuji wartawan Yong (kiri dalam gambar) kerana tenang ketika berdepan dengan tindakan Zahid itu.
Yong
cuba bertanya kepada Zahid mengenai kehilangan senjata dan peralatan
polis yang lain bernilai kira-kira RM1.3 juta, seperti yang didedahkan
oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan pada hari Selasa.
Ketua Audit Negara melaporkan bahawa gari paling barang banyak hilang sebanyak 156, diikuti 44 senjata dan 29 kenderaan polis.
Fathi menggesa Umno supaya melayan semua organisasi media dengan rasa hormat dan secara saksama.
"Umno adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang mengharamkan Malaysiakini membuat liputan programnya, terutama mesyuarat Majlis Tertinggi," tambahnya.
No comments:
Post a Comment