Satu jawatankuasa khas telah ditubuh bagi meneliti dan mengkaji Laporan
Ketua Audit Negara 2012, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali
Hamsa hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa itu yang
dipengerusikan beliau, dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.
Katanya
jawatankuasa itu akan mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas
ke atas mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku dan
penyelewengan dalam sistem tadbir urus kewangan pelbagai kementerian dan
agensi berkaitan.
"Kita minta SPRM sebagai agensi pertama (dalam
jawatankuasa ini) cuba lihat sekiranya ada isu-isu berkaitan SPRM yang
perlu diselesaikan dulu.
"Perkhidmatan awam memberi jaminan akan
jalankan segalanya dengan telus," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Rafulin
di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong di Kuala Selangor, hari ini.
Ali
berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Panel Perundingan dan
Pencegahan Rasuah (PPPR) agar satu jawatakuasa khas ditubuh bagi
mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan mengemukakan cadangan
konkrit untuk mengatasi sebarang kelemahan serta-merta.
Mengulas
lanjut, ketua setiausaha negara berkata pihaknya telah mengarahkan
setiap kementerian mengambil tindakan tatatertib mengikut bidang kuasa
masing-masing terhadap pegawai mereka sekiranya bertanggungjawab
terhadap sebarang kelemahan yang terkandung dalam laporan audit.
Dalam
pada itu, Ali berkata satu lagi jawatankuasa khas yang juga akan
dipengerusikan beliau serta dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan ditubuh dalam masa terdekat
bagi memantau projek-projek kerajaan termasuk perolehan kerajaan.
"Kalau berlaku apa-apa penyelewengan, tindakan tegas akan diambil ke atas pegawai yang melakukannya," katanya.
Mengenai
program hari ini, Ali berkata Yayasan Rafulin telah memberikan bantuan
dalam bentuk pembinaan dewan serbaguna dengan kos kira-kira RM2.12 juta
untuk SK Bukit Badong sebagai sebahagian CSR yayasan itu.
Katanya,
yayasan itu turut menyumbang bagi pembinaan blok bangunan dua tingkat
dengan kos kira-kira RM1.526 juta kepada Sekolah Kebangsaan Ijok.
No comments:
Post a Comment