Polis hari ini mendedahkan nama dan gambar lelaki disyaki dalang kes
pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain
Ahmad Najadi, yang dipercayai meninggalkan negara selepas kejadian
pembunuhan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh
berkata lelaki tempatan itu, Lim Yuen Soo, 53, beralamat terakhir di No.
9, Jalan Bayu Segar 3, Bayu Segar, Cheras, Kuala Lumpur, juga merupakan
majikan suspek utama kes itu.
Beliau berkata orang ramai
yang mengenali Lim diminta tampil membantu siasatan dan menurutnya polis
turut meminta bantuan Interpol di Australia bagi menangkapnya untuk
dibawa balik ke Malaysia dan dihadapkan ke mahkamah.
"Lelaki
ini sebenarnya terlibat dalam perniagaan pusat hiburan dan merupakan
pemilik beberapa kawasan parkir di ibu negara," katanya kepada pemberita
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di ibunegara hari
ini.
Pada 1 Oktober lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki terbabit dipercayai
melarikan diri ke Australia selepas pembunuhan itu.
Pada 22
September lepas, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua rakannya
dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, dan
pada 3 Oktober lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan
membunuh.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah
akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar
dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di ibunegara pada 29 Julai lepas.
Mohmad berkata usaha mencari senjata api yang digunakan dalam pembunuhan Hussain masih diteruskan.
"Kami
masih meneruskan pencarian senjata itu, bukan perkara yang mudah untuk
mencari senjata yang kecil di lombong yang agak besar itu. Tapi kita
akan tetap teruskan dengan kemampuan penyelam-penyelam yang polis ada
untuk kita terus mencari," katanya.
Pada 30 September lepas,
polis menjalankan operasi mencari pistol yang diguna dalam pembunuhan
Hussain yang telah dibuang di kawasan Tasik Mines bersebelahan Lebuhraya
Besraya.
No comments:
Post a Comment