Satu pembaharuan. Layar wayang kulit akan menampilkan buat julung kali
karakter zaman angkasa lepas - Sangkala Vedah (Darth Vader), Perantau
Langit (Skywalker), Tuan Puteri Leia (Princess Leia Organa) dan Si P
Long (C-3PO).
Karakter daripada siri filem 'Star Wars' ini akan
menggantikan watak-watak yang mempelopori wayang kulit selama ini -
Ramayana - Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana
daripada epik Silam India Hikayat Rama.
Dan
semua ini adalah hasil gandingan kreativiti dan wawasan dua insan seni
yang masing-masing mempelopori animasi moden dan tradisional.
Chuo
Yuan Ping, 40, pemilik syarikat animasi di ibu negara dengan kerjasama
tok dalang tersohor wayang kulit Kelantan, Muhammad Dain Othman, 61,
membawa nafas baru kepada seni persembahan tradisional ini.
Kedua-dua mereka amat berharap watak-watak baru ini dapat memikat hati
generasi muda dan memastikan kesinambungan warisan wayang kulit.
Chuo yang lebih dikenali mesra sebagai Tintoy berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Beliau
ditemui oleh penulis di Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di
Kampung Morak, Kebakat, milik Muhammad Dain di Tumpat baru-baru ini.
Bentuk animasi humor
Menceritakan
pengalaman pertama ketika cuba menghasilkan watak filem Star Wars dalam
bentuk wayang kulit, Tintoy berkata, beliau dibantu oleh dua rakannya
iaitu seorang pereka animasi dan pemilik kilang percetakan untuk
merekabentuk serta mencetak watak-watak itu dalam bentuk dua dimensi
(2D).
"Namun timbul masalah untuk mencetaknya dalam bentuk 2D
kerana tiada kepakaran menghasilkan patung menggunakan belulang seperti
yang digunakan dalam permainan wayang kulit asli.
"Bagaimanapun,
seorang rakan bersetuju untuk membantu dengan mencetak kedua-dua watak
itu menggunakan kepingan plastik di kilang miliknya dengan setiap patung
mengambil masa kira-kira lima jam untuk disiapkan," katanya.
Berikutan penerimaan yang baik selepas menceritakan hasratnya itu kepada
Official Star Wars Malaysia Fan Club, Tintoy mara ke peringkat
seterusnya untuk cuba menghasilkan filem Star Wars itu dalam bentuk
wayang kulit.
Mengakui timbul rasa takut semasa percubaan
pertamanya itu kerana dibimbangi akan mencemari seni asli wayang kulit,
Tintoy kemudian ke pejabat Tourism Malaysia di Kuala Lumpur untuk
membuat kajian sebelum membeli sebuah buku nukilan Pak Dain berkenaan
permainan tradisional itu.
"Pada masa yang sama, Pak Dain
(Muhammad Dain) turut menambah saya sebagai kenalan dalam laman sosial
Facebook dan saya gembira kerana Pak Dain turut menyokong idea untuk
menghasilkan kembali filem itu dalam bentuk permainan wayang kulit,"
katanya.
Gandingan dua artis
Bermula
dari situ, kedua-dua mereka memilih tajuk 'Peperangan Bintang: Harapan
Baharu' yang diterjemah daripada tajuk asal siri terbaharu 'Star Wars: A
New Hope' ke dalam Bahasa Melayu dan mula mencipta beberapa watak,
jalan cerita dan muzik latar bagi penghasilan wayang kulit edisi Star
Wars itu.
Proses pembuatan wayang kulit Star Wars itu masih
dikekalkan iaitu menggunakan patung yang dibuat daripada kulit lembu
atau kambing yang telah dikeringkan (belulang), manakala muzik latar
juga menggunakan peralatan tradisional seperti gedombak, gendang,
serunai dan gong.
Sehingga kini, lima watak berjaya disiapkan
oleh Tintoy dan Pak Dain iaitu Sangkala Vedah (Darth Vader), Perantau
Langit (Skywalker), Tuan Puteri Leia (Princess Leia Organa), Si P Long
(C-3PO), Hulubalang Empayar (Storm Troopers) serta sebuah Kapal Angkasa
Pemusnah Bintang (Star Destroyer Space Ship), manakala durasi
pertunjukkan animasi wayang kulit berkenaan mengambil masa antara satu
jam setengah dan dua jam.
Pertunjukan itu direkod untuk
dijadikan filem animasi wayang kulit dengan prebiu pertama selama 15
minit akan dipertonton pada seminar Jaringan Usahawan Nusantara Sedunia
pada 9 Okt di ibu negara.
Tidak cemari permainan asal
Sementara
itu, Pak Dain yang juga bekas Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan
Kelantan berkata wayang kulit Star Wars itu tidak menyalahi ciri-ciri
dominan pertunjukan tradisional itu yang diamal sejak turun-temurun.
"Terdapat
lima ciri dominan dalam permainan wayang kulit iaitu muzik, bahasa atau
dialog, persembahan, pendalangan dan karakter atau watak. Apa yang kami
buat adalah mengubahsuai satu daripada elemen cerita dalam pertunjukan
itu dan kita panggilnya sebagai cerita asing.
"Cerita asing
adalah cerita yang tidak terdapat dalam cerita pokok, malah sangat
berlainan kerana watak dan muziknya berbeza. Kedua-dua elemen itu boleh
berubah mengikut citarasa tok dalang berdasarkan keadaan semasa. Namun,
tok dalang perlu kreatif untuk tidak mencampuraduk elemen yang terdapat
dalam cerita pokok ke dalam cerita asing.
"Contohnya cerita
asing dalam permainan wayang kulit asli adalah Hikayat Merong
Mahawangsa. Ia langsung tiada kaitan dengan Hikayat Seri Rama dengan
cerita pokok dan watak yang digunakan juga sangat berbeza", kata tok
dalang asli terakhir ke-13 itu, yang mendapat pengijazahan daripada
hierarki dalang wayang kulit asli sekitar 1980-an.
Pelbagai wayang kulit
Di
Malaysia sahaja terdapat empat jenis persembahan wayang kulit iaitu
Wayang Kulit Melayu, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Purwa atau Wayang
Kulit Jawa dan Wayang Kulit Kelantan atau Wayang Kulit Siam. Kesemua
empat jenis wayang kulit ini hanya boleh ditemui di Semenanjung.
Bagaimanapun, wayang kulit menerima sambutan dingin daripada generasi
muda, dan diharapkan usaha Tintoy dan Pak Dain untuk membawanya ke
format digital dapat memikat hati golongan muda dan memastikan
kesinambungan warisan persembahan wayang kulit.
No comments:
Post a Comment