Seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa dirinya dikurung majikan,
bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Beserah,
dekat Kuantan.
Dalam kejadian 7.30 malam tadi itu, wanita
terbabit yang dikenali sebagai Marry, 22, berasal dari Pelembang,
Indonesia, cedera di kaki dan bahagian pinggang dalam usahanya
melepaskan diri.
Tindakan wanita itu yang pada mulanya
menggunakan tali selepas keluar menerusi tingkat untuk ke tingkat bawah
bangunan itu, disaksikan beberapa pekerja sebuah restoran berhampiran.
Seorang
pekerja restoran itu, Shamir Muhammad, 32, berkata dia yang baru
selesai solat Maghrib ternampak wanita berkenaan menggunakan seutas tali
untuk ke tingkat bawah.
"Saya terdengar suara wanita meminta
tolong dan mahu turun. Apabila saya keluar, secara tiba-tiba saya lihat
dia bertindak terus terjun dari tingkat tiga.
"Saya cuba
menyambut dia tetapi hanya sempat menahan leher dan badannya daripada
terhantuk ke dinding," katanya kepada pemberita di Kuantan.
Wanita itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Dia mendakwa telah dikurung majikannya sejak tiga hari lepas.
"Saya
mahu lari, saya tidak mahu dikurung begini, telefon bimbit dan pasport
saya dipegang oleh majikan menyebabkan saya tidak dapat pergi ke
mana-mana.
"Saya baru sampai ke Malaysia sejak beberapa hari
lepas untuk bekerja sebagai pencuci tetapi saya dikurung pula, saya mahu
pulang ke Indonesia," katanya ketika ditemui di Kuantan.
Sementara
itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad ketika
dihubungi berkata polis masih menyiasat kejadian itu meliputi dakwaan
dan majikan wanita terbabit.
No comments:
Post a Comment