Tuesday 6 November 2012

NGO 'pro-M'sia' gesa k'jaan Perancis siasat Suaram

NONEKedutaan Perancis di Jalan Ampang petang tadi menerima kunjungan sekumpulan NGO yang menyerahkan memorandum mendesak Perancis menyiasat status NGO hak asasi manusia, Suaram.

NGO tersebut terdiri daripada Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia. (PPIM), Majis Perundingan Melayu, PERKASA Malaysia, Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah, dan Lembaga Perlindungan Kepenggunaan Malaysia.

Presiden KWMM, Dzulkarnain Taib berkata kumpulan mereka yang 'pro-Malaysia' itu menyerahkan memorandum setebal empat halaman untuk mendesak Perancis meneliti status Suaram yang bertindak sebagai plaintif dalam siasatan pembelian kapal selam Scorpene di Perancis.

Beliau berkata, pihaknya mendesak kerajaan Perancis supaya menyiasat latar belakang Suaram yang didakwanya sebuah pertubuhan tidak sah serta sebab-sebab yang membawa kepada Suaram yang didakwanya memanipulasi sistem kehakiman Perancis sehingga berpeluang mendapat status plaintif dalam kes tersebut.Menurut Dzulkarnain, mereka percaya Suaram tiada locus standi apabila bertindak sebagai plaintif dan mendakwa bahawa tindakan mahkamah Perancis memberikan mereka akses kepada dokumen sulit setebal 153 halaman juga mengancam keselamatan negara.

Hujung Mei lalu, peguam Joseph Breham yang mewakili Suaram dalam sidang akhbar di Bangkok, mendakwa syarikat pertahan Perancis membeli dokumen sulit peringkat tertinggi yang memperincikan penilaian kapal selam Scorpene daripada Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Kami mahu kerajaan Perancis siasat sama ada Suaram menipu mahkamah Perancis seterusnya menghalang mana-mana individu bergerak atas nama Suaram daripada memasuki Perancis," kata Dzulkarnain.

Berbeza dengan Suaram, kata Dzulkarnain, KWMM serta enam NGO lain yang menyerahkan memorandum itu adalah pertubuhan berdaftar yang cakna dengan pentadbiran kerajaan Malaysia.

"Kami pro-Malaysia, menyokong usaha kerajaan dan menegur secara konstruktif (pentadbiran kerajaan) untuk kepentingan dan manfaat rakyat Malaysia," katanya.

Setiausaha pertama kedutaan Perancis, Damien Syed sewaktu dihubungi mengesahkan menerima memo dari sekumpulan individu petang tadi.

Memo itu katanya akan dipanjangkan kepada duta Perancis untuk tindakan lanjut.

Beliau bagaimana pun tidak memberi sebarang perincian lain kerana tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment

Get widget