Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menggunakan kuasanya untuk
menghalangnya membuat sidang media di lobi parlimen.
Rafizi
menegaskan Nazri seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah institusi
tertinggi milik rakyat dan larangan tersebut akan merendahkan martabat
dan kedudukan Parlimen.
"Pada
fikiran saya, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi mengambil tindakan yang
berunsurkan "konflik kepentingan" kerana sidang-sidang media yang akan
datang mungkin akan berkisar mengenai beliau.
"Sebelum ini beliau
tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat
di Parlimen," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi
mengulas larangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia
hari ini mengenai penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh
mereka yang bukan ahli parlimen.
Larangan lisan tersebut berkuat
kuasa serta merta kerana tidak mahu sudut bertulisan 'Parlimen Malaysia
Sidang Media' disalahguna oleh mereka yang bukan ahli parlimen.
Mengulas lanjut, Rafizi sebaliknya berkata Parlimen wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan.
"Tindakan
Datuk Seri Nazri Aziz dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat
biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan
merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen," katanya.
No comments:
Post a Comment