Thursday 8 November 2012

Skuad Rajagobal hilang arah


Walaupun ketika Thailand bermain dengan 10 pemain, mereka tetap mampu menambah jaringan untuk merekodkan kemenangan selesa keatas Malaysia 2-0.
Adakah Datuk K. Rajagobal masih lagi mahu bermain dengan alasan "menyimpan kekuatan sebenar", dalam masa semua pihak gelisah dengan kemampuan negara dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki 2012?
Jelas sekali, beliau perlu mempertingkatkan lagi kerja rumah bersama para pemainnya, selepas menyaksikan prestasi skuad negara ketika tewas 2-0 di Stadium Chiang Mai. Pemain Rajagobal jelas kelihatan hilang arah, hantaran kurang baik, tiada gerakan kreatif dan corak serangan yang juga tidak merbahaya.
Dalam aksi di separuh masa pertama, permainan agak perlahan namun tuan rumah tetap berjaya mendahului perlawanan menerusi gol Prayat Bunya pada minit ke-26.
Gol itu hadir apabila Farizal Marlias yang cuba menerpa untuk menyekat sepakan penjuru Thailand. Dua minit sebelum itu, sepakan percuma Sumanya Purisai singgah di palang gol pasukan negara.
Kegagalan bahagian tengah yang menggandingkan Shakir Shaari dan Gary Steven Robbat membataskan pergerakan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang jarang menerima bola untuk menguji pintu gol pasukan Gajah Putih itu.
Rajagobal mengekalkan kesebelasan yang sama pada babak kedua dan situasi tidak banyak berubah walaupun kali ini pemain sayap terutamanya S. Kunanlan beroleh beberapa peluang.
Thailand hampir menggandakan kedudukan mereka pada minit ke-65 dengan ofsaid yang cuba dilakukan Aidil Zafuan Abd Razak dan rakan-rakan tidak menjadi, namun mujur sungkitan Chatree Chimtalay sedikit kuat.
Walaupun Thailand terpaksa mengharungi baki permainan dengan 10 pemain selepas Adul Lahso dibuang padang pada minit ke 72, gawang negara bolos lagi dengan satu serangan pantas menerusi rembatan kencang Arthit Sunthornpit sembilan minit selepas itu.
Kemasukkan Baddrol Bakhtiar di bahagian untuk menggantikan Gary Steven Robbat memberi sedikit kelebihan buat negara, tetapi Harimau Malaya turut dipaksa bermain dengan 10 pemain.
Aidil pula turut diarahkan meninggalkan padang kerana kad kuning kedua yang diterimanya di kawasan tengah padang pada lima minit sebelum masa sebenar permainan tamat.
Walaupun ada gerakan berbahaya cuba dilakukan ke atas pintu gol Thailand, kegagalan memanfaatkan peluang seperti itu sudah cukup untuk mengundang keresahan rakyat Malaysia mengenai persiapan skuad negara kali ini.

No comments:

Post a Comment

Get widget