Sunday 18 November 2012

Taufan wang: Hadi buat fitnah, kata pemimpin Umno


Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
SHAH ALAM – Dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pengundi akan berhadapan dengan "taufan wang", yang akan diamalkan oleh parti lawan - dilihat merujuk kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), satu usaha mahu mengalih pandangan rakyat terhadap kemelut sebenar melanda parti Islam itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kepimpinan Pas cuba mengalih isu susulan arus kecaman bahawa parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sudah tersasar daripada perjuangan asalnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi juga menyifatkan “taufan” yang kini melanda Pas susulan kerjasamanya dengan DAP, yang kian rapuh di sebalik isu hukum hudud.

“Taufan itu ialah apabila Dewan Ulama dan Pemuda Pas dengan tegas mahu pucuk pimpinan Pas kembali kepada perjuangan asal Pas seperti negara Islam dan hudud, sedangkan kini pucuk pimpinan Pas menggantikannya dengan perjuangan negara kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau percaya kenyataan Abdul Hadi itu dibuat ekoran Umno-BN komited untuk menang dengan selesa pada PRU13, dengan “apa cara sekalipun”, namun itu tidak bermakna “matlamat menghalalkan cara”, sebaliknya mereka akan menggerakkan semua jentera di semua peringkat dengan semua sumber tenaga mereka.

"Apa cara sekalipun tidak bermaksud melakukan semua perkara sehingga termasuk perkara yang haram, yang melanggar undang-undang atau yang bertentangan dengan nilai-nilai murni demokrasi.

"Kami tidak akan membeli undi,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut membidas Hadi sambil menyifatkan sebagai tuduhan melampau kerana selama ini Kerajaan Persekutuan membantu rakyat tanpa mengira masa atau keadaan, tidak terhad menjelang PRU13 semata-mata.

Katanya, pemberian subsidi dan pelbagai program kebajikan kepada rakyat sentiasa disalurkan sepanjang tahun dan tuduhan Hadi itu tegasnya tidak berasas.

“Jadi saya tak faham apa yang dimaksudkan oleh Presiden Pas itu, sebab kita bantu rakyat pada tahun pertama dan kedua, subsidi berterusan diberikan bernilai berbilion ringgit, bermacam bantuan, itu tidak menggambarkan langsung tentang taufan wang," katanya.

Kesal dengan kenyataan Hadi itu, Rahman, pemimpin muda dari Sabah mempersoalkan jika benar “taufan wang” itu diamalkan Umno-BN, bagaimana pula dengan pemberian pelbagai bantuan oleh empat Kerajaan Negeri PR sejak 2008.

“Negeri-negeri mereka pun berbuat demikian, ini kadang-kadang saya tak faham, kalau di Selangor sendiri bantuan itu, bantuan ini... apakah itu juga taufan wang?”

“Ingat, Selangor adalah negeri yang paling kaya dalam Malaysia, saya pasti kalau tuduhan itu dilemparkan kepada Kerajaan Persekutuan, perkara yang sama boleh dilemparkan kerajaan negeri yang mentadbir negeri yang paling kaya di Malaysia,” tegasnya lagi.

Kelmarin, Hadi mendakwa seluruh negara akan berdepan dengan "taufan wang" parti lawan menjelang PRU13.

Dakwa Hadi lagi menjelang PRU13, seluruh negara akan berdepan dengan taufan wang yang akan masuk ke setiap rumah dan jiwa manusia di negara ini.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamad Aziz menegaskan, dakwaan Hadi satu serangan berbaur fitnah dan penuh dengan pembohongan.

“Pas dari dulu sampai hari ini... dulu, kini dan selamanya menyerang Umno dengan fitnah, pembohongan, putar belit fakta, fitnah, itu cara dia.

“Sangka buruk dia pada Umno tak akan habis, jadi dia kata macam-macam, ini sekarang kata Umno pakai duit, ini cara dia untuk meyakinkan orang dia.

“Tak pelik, dia akan sebut macam-macam, kata Umno zalim... saya nak tanya dia satu saja, apa zalim Umno? Cuba tunjuk pada saya," katanya lagi.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Sri Gading turut mempersoalkan kezaliman yang dilakukan Pas terhadap rakyat Kelantan yang menderita akibat masalah bekalan air bersih yang masih berlarutan meskipun sudah 22 tahun parti Islam itu memerintah.

“Air pun tak boleh selesai, nanti dia akan jawab macam-macam lah!

“Ini cara dia, Pas ini tak ada modal lain melainkan fitnah, pembohongan, putar belit fakta, itu cara dia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Get widget