Perbuatan mencelup ayam dalam cairan pewarna bagi tujuan menipu pengguna
kononnya itu ayam kampung adalah salah di sisi undang-undang, kata
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
"Setakat ini
pewarna yang dikesan tidak menjejaskan kesihatan dan diguna oleh
industri makanan lain. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh guna
pewarna itu untuk menipu pengguna," katanya kepada pemberita di
Putrajaya semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini
yang menyebut ada segelintir peniaga ayam bertindak mencelup daging ayam
ternak dalam cairan pewarna kuning, dipercayai anilina, agar ayam itu
menyerupai ayam kampung.
Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan terus mengambil sampel ayam untuk siasatan lanjut.
Setakat ini sampel positif ialah sampel yang diambil di sekitar Selangor dan Pulau Pinang, katanya.
Sementara
itu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
penambahan bahan pewarna yang dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan
Makanan 1985 tidak dibenarkan di dalam daging ayam dan satu kesalahan
menurut Seksyen 13B(2) (d) Akta Makanan 1983.
Jika sabit
kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau
penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, katanya dalam
kenyataan yang diedar kepada wakil media.
Beliau berkata
setakat ini keputusan analisis menunjukkan ada sampel yang diambil
pihaknya mengandungi pewarna Tartrazine dan Sunset Yellow FCF.
Sehubungan
itu peniaga terlibat akan dikenakan tindakan, katanya dalam satu
kenyataan yang diedarkan dalam sidang akhbar berkenaan.
Menurutnya
penggunaan anilina sebagai pewarna di dalam makanan adalah dilarang
mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.
"Mengikut
Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual
apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang membahayakan
kesihatan, boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara tidak lebih 10
tahun atau kedua-duanya," kata Dr Noor Hisham.
Beliau juga
meminta pengguna yang ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di
pasaran tempatan agar memaklumkannya kepada pejabat kesihatan daerah,
negeri atau terus ke kementerian
No comments:
Post a Comment