Seramai 1,703 daripada kira-kira 146,000 perwakilan di seluruh negara
diisytihar muflis dan mereka tidak dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat
dan terlibat dalam pemilihan di peringkat bahagian.
Dalam
sidang medianya petang ini, Setiausaha Kerja Datuk Ab Rauf Yusoh berkata
ia selaras perkara 8.4 peraturan persidangan berhubung hak menghadiri
persidangan.
"Bagi mereka yang didapati muflis di bawah
peraturan yang diluluskan bawah Pendaftar Pertubuhan, mereka tidak boleh
dipilih, memilih atau mengundi selain daripada selain daripada
peringkat cawangan," katanya.
Sehubungan itu, Ab Rauf berkata
ibu pejabat parti akan mengeluarkan tauliah kepada perwakilan yang
disahkan untuk menghadiri persidangan di peringkat bahagian.
"Sekiranya mereka didapati muflis, nama (mereka) akan diberi tanda untuk
dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan dan salinan surat daripada
Jabatan Insolvensi akan disertakan sekali bagi memastikan bahawa semua
rujukan telah dibuat dan mendapati perwakilan tidak boleh menghadiri
mesyuarat.
"Jadi surat daripada Jabatan Insolvensi akan
diberikan kepada jawatankuasa pemilihan yang hadir di peringkat
bahagian-bahagian," katanya.
Menurutnya, semua perwakilan yang bankrap akan dimaklumkan sebelum pemilihan berlangsung melalui bahagian Umno masing-masing.
Tarikh
mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi tiga sayap parti peringkat
bahagian diadakan serentak pada 12 Oktober ini (Sabtu), manakala tarikh
mesyuarat perwakilan dan pemilihan di peringkat bahagian diadakan
serentak pada 19 Oktober 2013.
Dalam sidang media yang sama juga,
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali
mengumumkan seramai 33,012 calon yang layak bertanding bagi semua
jawatan di peringkat bahagian termasuk sayap-sayap parti.
Menurutnya lagi, seramai 334 calon diisytihar muflis, 495 calon telah menarik diri dan 39 dikaitkan dengan masalah disiplin.
No comments:
Post a Comment