Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui kementerian itu
membayar RM1.6 juta untuk acara konsert K-Pop pada tahun 2012 seperti
dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Menurutnya,
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat bayaran itu selepas syarikat
yang menawarkan penajaan tidak meneruskan pembiayaan itu.
"Mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai - memang betul konsert ini dibiayai KBS.
"Kenyataan
awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada
ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.
"Namun,
tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran
untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012," katanya menerusi kenyataan pada
laman Facebook beliau.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan meneruskan lagi acara sebegitu pada sambutan Hari Belia 2013 dan tahun-tahun akan datang.
'Saya mesti jawab & bertindak'
Ketua setiausaha kementerian Mohd Mohamad dalam laporan Bernama tahun lalu menyatakan bahawa kos membawa masuk persembahan tersebut ditanggung penaja.
Tiga kumpulan K-Pop - U-Kiss, Teen-Top dan Dal shabet - dilapor
ditampilkan untuk persembahan pada acara tersebut oleh syarikat Stadium
First Sdn Bhd.
Menurut Khairy, beliau bertanggungjawab menjelaskan perkara itu walaupun beliau bukanlah menteri KBS pada masa itu.
"Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang
perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri.
"Prinsip kebertanggungjawapan bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya," katanya.
Menteri belia dan sukan sewaktu sambutan itu berlangsung adalah Datuk
Seri Shabery Cheek yang kini merupakan menteri penerangan, komunikasi
dan kebudayaan.
No comments:
Post a Comment