PAS mendesak satu himpunan seperti BERSIH diadakan bagi menuntut
penyiasatan dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung
ketirisan seperti yang dilapor Laporan Ketua Audit Negara yang
dikeluarkan semalam.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) berkata rakyat perlu terus memberi tekanan berhubung perkara itu sehingga kerajaan BN mengaku bahawa "mereka boros".
"Media-media boleh terus mengorek ketirisan-ketirisan yang telah
berlaku, tapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap
hangat-hangat tahi ayam dalam soal ketirisan ini, kerajaan BN akan terus
bersikap acuh tidak acuh pada laporan ketua audit negara.
"Jika
tidak, budaya ketirisan ini akan berterusan dan rakyat akan disuruh
terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupannya untuk membolehkan
kerajaan BN terus berboros dalam perbelanjaannya," katanya.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat mempersoalkan
mengapa tiada tindakan setiap kali laporan itu dibentangkan dan
mempersoal transformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
"Ternyata laungan transformasi beliau hanya slogan
kosong. Kita yakin selagi kerajaan BN menerajui negara, penyalahgunaan
kuasa dan pengurusan sumber kewangan negara akan berterusan," katanya.
Bidas Ahmad Maslan
Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang membidas Timbalan Menteri
Kewangan Datuk Ahmad Maslan berhubung kenyataannya bahawa laporan
tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran negara.
Dengan nada
menyindir, pemimpin PAS itu mahu Ahmad menggunakan "kepintarannya"
dengan menyifatkan ketirisan itu "menandakan sistem perolehan kerajaan
telah rosak dijangkiti barah rasuah sehingga akarnya".
"Di
sini perlunya kerajaan BN untuk melakukan rasionalisasi perbelanjaan
sebagai kemoterapi merawat barah ini sebelum memerah otak mereka menekan
rakyat untuk menampung perbelanjaan.
"Ketirisan yang dilaporkan
setiap tahun di Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan Malaysia
memerlukan rasionalisasi perbelanjaan di dalam semua jabatan kerajaan
terlebih dahulu sebelum menghukum rakyat dengan rasionalisasi
subsidinya," katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata tidak
adil kerajaan menyuruh rakyat membayar lebih RM0.20 untuk seliter untuk
minyak sedangkan agensi kerajaan terus meneruskan kerja borosnya.
No comments:
Post a Comment